PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya, penambahan kerusi Parlimen tersebut kelak, turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.
“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian tersebut pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara tersebut dimaklumkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Anwar memaklumkan, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Sabah, Anwar berkata, penambahan itu perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi berbanding ketika ini. – UTUSAN










