NEW DELHI: Anggota kumpulan BRICS yang terdiri daripada 11 negara, termasuk China, Rusia, Iran dan India, menggesa semua pihak supaya bertenang berhubung konflik di Asia Barat pada sidang kemuncak di New Delhi pada Sabtu, selepas berjaya mengatasi perbezaan pendirian sebelum ini untuk mengeluarkan kenyataan bersama.
Presiden China, Xi Jinping,yang menyertai Presiden Russia, Iran, India dan pemimpin lain berkata, perang di Asia Barat tidak memberi manfaat kepada kepentingan bersama masyarakat antarabangsa.
Menteri luar negara anggota BRICS gagal mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama ketika bertemu di New Delhi pada Mei lalu, dengan Iran, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berbeza pendirian berhubung perang yang bermula susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari.
Namun, para pemimpin mengeluarkan kenyataan bersama pada Sabtu selepas usaha diplomatik intensif oleh India selaku tuan rumah, ketika blok itu berusaha meningkatkan pengaruhnya di peringkat global dan menangani konflik, ketidaktentuan perdagangan serta keselamatan tenaga.
“Kami menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan berterusan ketegangan di Asia Barat,” menurut kenyataan bersama itu dan menambah bahawa negara anggota menggesa semua pihak supaya mengamalkan kawalan maksimum serta mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai forum bagi ekonomi sedang pesat membangun utama yang mahu meningkatkan pengaruh dalam institusi yang selama ini didominasi kuasa Barat.
“Kita perlu mengubah piramid keistimewaan ini menjadi wadah perkongsian,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi, kepada Jinping; Presiden Russia Vladimir Putin; Presiden Iran , Masoud Pezeshkian dan pemimpin lain ketika membuka sidang kemuncak dua hari itu.
Modi berkata negara-negara BRICS mewakili 50 peratus penduduk dunia, 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan lebih 25 peratus perdagangan global. – AFP










