KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar Pas membuktikan keikhlasan dalam usaha penyatuan ummah dengan menguji formula kerjasama politik bersama UMNO di salah sebuah negeri kumpulan SG4, Terengganu.
Mohamad berkata, persefahaman antara kedua-dua parti tidak boleh berlaku secara satu pihak sahaja.
Beliau turut mencadangkan supaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, salah sebuah negeri SG4 mengadakan pilihan raya bagi melihat sejauh mana keikhlasan dalam menjayakan persefahaman berkenaan.
“Persefahaman-persefahaman ini, tetapi persefahaman jangan kita sepihak sahaja. Kita sahaja nak persefahaman, dia mengambil untung sahaja.
“Saya nak cadangkanlah Datuk Seri Presiden, supaya lepas Melaka besok, kita cuba pula sejauh manakah keikhlasan kawan kita.
“Kita minta salah satu daripada negeri SG4 tersebut buat pilihan raya. Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai. Buat di Terengganu,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini , hari ini.
Menurut Mohamad, beliau mahu melihat formula yang boleh digunakan sekiranya pihak berkenaan benar-benar ikhlas dalam usaha menyatukan orang Melayu.
“Jangan kita sahaja hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau benar-benar ikhlas di atas nama penyatuan ummah Melayu, maka kita lihat macam mana formula yang nak diguna pakai.
“Di situ nanti kita lihat. Dan bolehlah kita guna pakai apa formula yang boleh menyatukan orang Melayu untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
“Kita nak uji kejujuran. Kita nak tengok sejauh mana. Jangan kita sahaja terhegeh-hegeh,” katanya. – UTUSAN










