PETALING JAYA: Akaun bank dan aset kewangan milik seorang lagi juruterbang yang ditahan susulam rampasan dadah bernilai RM45 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia telah dibekukan.
Pembekuan akaun adalah sebahagian daripada tindakan selepas juruterbang berkenaan ditahan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia.
Katanya, peranan juruterbang kedua itu disyaki bertindak sebagai orang tengah antara juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia pada Julai lalu.
“Ya saya sahkan dan kini sedang meneliti akaun bank juruterbang berkenaan serta rekod kewangan lain yang mempunyai kaitan dengannya.
“Bagaimanapun, kita belum boleh dapatkan jumlah yang dibekukan,” katanya.
Kata Hussien, wang berkenaan diterima juruterbang kedua ini daripada suspek untuk dipindahkan ke dalam akaun itu.
Tegas Hussein, individu yang terbabit kegiatan pengedaran dadah termasuk menerima hasil jualan dadah atau membenarkan akaun bank digunakan untuk tujuan itu, akan dianggap sebagai penglibatan dalam pengedaran dadah dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan dadah.
“Sebab itu kita tahan dia di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan kes ini akan dirujuk kepada Lembaga Penasihat untuk menentukan sama ada suspek perlu ditahan untuk tempoh tambahan selama dua tahun,” jelasnya.
Pad Khamis lalu, juruterbang kedua itu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah yang dikaitkan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang di Jakarta bersama 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki mengandungi ekstasi dan metamfetamin bernilai RM45 juta.
Suspek terbaharu, seorang rakyat Malaysia berusia 30-an, ditahan di Lembah Klang pada 7 September, menjadikan jumlah individu ditahan di Malaysia berkaitan kes itu kepada tujuh orang.
Enam lagi yang ditahan ialah lelaki warga Malaysia berusia antara 23 hingga 50 tahun.
Polis percaya keenam-enam mereka bertindak sebagai pembekal dan penghantar kepada juruterbang berkenaan serta memainkan peranan pada peringkat “upline” dan “downline” dalam rangkaian pengedaran dadah tersebut. – UTUSAN










