China, Nepal berbeza pendekatan kawal maklumat palsu banjir

China, Nepal berbeza pendekatan kawal maklumat palsu banjir

PASUKAN penyelamat menjalankan operasi pencarian mangsa hilang selepas tanah runtuh dan banjir lumpur memusnahkan Pelabuhan Gyirong, di daerah Gyirong di wilayah Tibet, barat China semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dan Nepal mengambil pendekatan berbeza dalam penyampaian maklumat susulan banjir besar di Himalaya, sekali gus mempengaruhi gambaran bencana yang mengorbankan lebih 1,400 orang itu kepada masyarakat.

Banjir seperti tsunami yang berlaku pada 26 Ogos selepas runtuhan glasier di kawasan pegunungan di sempadan China-Nepal menyebabkan lebih 5,650 orang masih hilang, termasuk ratusan warga asing.

Kedua-dua China dan Nepal mengambil tindakan terhadap penyebaran hantaran palsu berkaitan banjir berkenaan.

Bagaimanapun, Beijing bertindak lebih jauh dengan menyekat penyebaran rakaman video daripada saksi kejadian serta mengenakan tindakan terhadap individu yang mempersoalkan angka rasmi, dalam satu tindakan kawalan maklumat yang menurut kumpulan hak asasi manusia mengikut corak yang sudah biasa dilakukan kerajaan China.

Maklumat mengenai banjir yang disiarkan media kerajaan China kurang memberi ruang kepada ahli keluarga mangsa yang masih hilang dan lebih memberi tumpuan kepada usaha pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan memulihkan keadaan di Tibet, kawasan yang wartawan asing tidak mempunyai akses tanpa sekatan.

Nepal pula mendesak platform media sosial dan organisasi berita memadam bahan visual palsu, termasuk beberapa imej yang disahkan tidak benar oleh pemeriksa fakta AFP, namun Kathmandu tetap memberikan kemas kini angka korban secara berkala menerusi media sosial.

Kenyataan langsung daripada keluarga mangsa juga mudah diperoleh, sama ada secara dalam talian atau di lapangan.

Pengerusi badan pengawal selia bebas Press Council Nepal, Umesh Shrestha, berkata pihaknya meminta lebih 100 akaun media sosial memadam kandungan berkenaan dan kebanyakannya mematuhi arahan itu.

“Maklumat boleh tersebar dengan sangat pantas,” kata Shrestha.

Polis Nepal menahan seorang lelaki yang didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai sumbangan kepada tabung bantuan bagi mempromosikan akaun peribadinya.

Bencana itu berlaku menjelang ulang tahun pertama demonstrasi antirasuah yang menggulingkan kerajaan terdahulu, selepas tercetus susulan sekatan terhadap media sosial.

Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, 10 individu dikenakan tindakan kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu dalam talian.

Mereka termasuk individu yang didakwa mendakwa angka korban sebenar lebih tinggi berbanding angka rasmi.

Kementerian Luar China menegaskan penyampaian maklumat berkaitan bencana itu dilakukan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya, selain mengkritik apa yang disifatkannya sebagai fitnah berniat jahat dan sensasi.

Beijing turut menganjurkan lawatan untuk sebilangan kecil media asing ke pusat bencana di Tibet.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×