Kembalikan keseimbangan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Kembalikan keseimbangan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

SALLEH SAID KERUAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Saranan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mesti diikuti dengan tindakan mengembalikan keseimbangan satu pertiga kerusi di Parlimen kepada dua negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan itu merupakan perkembangan positif dan penting.

“Saya turut menyokong saranan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah supaya cadangan itu disusuli tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi harapan.

“Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen selaras semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, sewaktu Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen

Katanya, apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, keseimbangan itu berubah.

Menurut Salleh, pembahagian kerusi parlimen sewajarnya disusun semula selepas Singapura keluar Malaysia bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri dari Borneo.

“Isu itu bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak, sebaliknya mengembalikan keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata, selepas lebih 60 tahun, tiba masanya prinsip itu diterjemahkan kepada pelan tindakan jelas, langkah konkrit dan pelaksanaan.
Katanya, dengan mengembalikan keseimbangan satu pertiga di parlimen tidak bertujuan melemahkan Malaysia.

Menurut beliau, sebaliknya akan memperkukuhkan perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×