Pada 1996, saya menjadi pelatih di Pusat Pengajian Kepimpinan dan Pembangunan – tatkala mengejar ijazah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sudut kegemaran saya dalam pejabat adalah perpustakaan kecil dengan koleksi buku-buku mengenai politik, ekonomi dan masyarakat. Perpustakaan tersebut adalah tempat ‘persembunyian’ saya.
Bila membaca buku-buku undang-undang dan kes-kes mahkamah dan didapati agak membosankan, saya beralih pada buku-buku mengenai politik dan masyarakat yang menyegarkan minda untuk melihat dunia dari sudut dan perspektif berbeza.
Salah sebuah buku itu adalah Republik Elektronik: Membentuk Semula Demokrasi Amerika dalam Zaman Maklumat ditulis oleh Lawrence K. Grossman, bekas Ketua Berita NBC. Buku itu diterbitkan pada 1995. Dengan kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada awal 1990-an, Grossman membayangkan penggunaan ICT sebagai alat dalam proses politik dan pemerintahan yang akan membawa kepada munculnya demokrasi langsung.
Seperti yang dilakukan oleh Greek purba, rakyat terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar dan undang-undang tanpa melalui wakil rakyat sebagai orang tengah.
Beliau juga menunjukkan dengan penggunaan ICT, wakil rakyat tidak perlu berada secara fizikal di Capitol Hill untuk berbahas dan meluluskan undang-undang.
Pada mulanya saya mendapati idea Grossman agak bersifat revolusioner dan sukar dilaksanakan. Ini adalah zaman di mana idea kita mengenai ICT lebih banyak berkisar di sebalik mel dan carian Yahoo. Tidak ada Google, Facebook, Twitter, TikTok, Instagram atau Zoom.
Lebih dua dekad kemudian, idea beliau sekarang tidaklah terlalu teruk. Sejak itu, sudah ada pelbagai buku dan artikel jurnal mengenai demokrasi elektronik atau demokrasi digital. E-demokrasi sudah menjadi satu bidang pengajian penting dalam sains politik.
Hakikatnya, kita hidup dalam zaman separuh demokrasi langsung. Ya, wakil rakyat kita meluluskan undang-undang di Parlimen dan menteri membuat dasar di Putrajaya.
Selalunya, undang-undang dan dasar ini dibentuk oleh pendapat awam, digerakkan oleh rakyat yang mengambil bahagian dalam debat maya di media sosial dan internet.
Saya percaya, sebahagian menteri dan ahli Parlimen (MP) mungkin terdorong untuk memandang sepintas lalu kepada Google sebelum mereka bercakap di Parlimen untuk memastikan apa yang mereka katakan selaras dengan sentimen awam. Gabungan undian pendapat awam, data besar dan analisis media sosial menjadikan apa yang netizen sebutkan dalam media sosial lebih diterima yang akhirnya mempengaruhi pembuatan dasar kerajaan.
Sama ada kita sedar atau tidak, kita hidup dalam zaman separuh demokrasi langsung. Kerana kita masih mempunyai wakil rakyat atau MP untuk meluluskan undang-undang bagi pihak kita. Apakah mereka masih memainkan peranan penting sebagai pembuat undang-undang? Ya, mereka masih. Itu adalah kerja sebenar mereka.
Tetapi MP atau Ahli Dewan Undangan Negeri kita bukan pembuat undang-undang sepenuh masa. Mengapa? Mereka juga mesti berkhidmat kepada pengundi daripada mengedarkan bakul makanan kepada memantau pembaikian jalan berlubang.
Ini menimbulkan keraguan ke atas tugas sebenar MP sebagai pembuat undang-undang. Sesetengah pihak mahukan MP memberi masa yang lebih untuk membahaskan rang undang-undang dan menyoal siasat menteri-menteri mengenai dasar-dasar kerajaan.
Ya, Dewan Rakyat boleh bersidang lebih kerap. Tetapi ini bermakna MP akan meluangkan masa yang sedikit di kawasan mereka kerana terpaksa berada di Kuala Lumpur (Parlimen). Sidang terakhir memakan masa kira-kira dua bulan, dari 7 Oktober hingga 5 Disember 2020.
Ini bermakna mereka hilang dari kawasan mereka untuk satu tempoh agak lama. Pada hujung minggu barulah melawat kawasan. Mengimbangi antara tugasan sebagai pembuat undang-undang (Yang Berhormat) dan ‘orang gaji rakyat’ (Yang Berkhidmat) bukanlah mudah.
Tetapi apakah ini akan berubah nanti? Saya tidak akan bersikap terlalu optimistik. Tetapi saya boleh rasa angin perubahan.
Cadangan Parlimen hibrid mungkin akan membawa perubahan ini. MP boleh berada dalam kawasan mereka tatkala menanyakan soalan kepada menteri-menteri, melibatkan diri dalam perbahasan dan membuat undian ke atas rang undang-undang.
Bukan hanya MP, menteri dan timbalan menteri juga mungkin menjawab soalan-soalan atau membentangkan rang undang-undang secara maya dari pejabat masing-masing.
Saya telah menguruskan jadual perdana menteri (PM) untuk beberapa ketika. Sewaktu sidang Parlimen, semua mesyuarat dipengerusikan oleh PM diadakan di Parlimen.
Kenapa? Kerana beliau mesti hadir secara fizikal.
Jadi, bila Parlimen bersidang, mereka yang datang bukan hanya MP tetapi juga pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut.
Ini bukanlah satu amalan baik, khususnya sewaktu pandemik. Tanpa pandemik pun, amalan begini agak membebankan dan tidak efisien.
Mesyuarat-mesyuarat Kabinet sudah dilangsungkan secara dalam talian untuk beberapa bulan. Menteri-menteri tidak lagi berkumpul di Pejabat PM setiap pagi Rabu.
Mereka hanya perlu membuka skrin. Kertas-kertas Kabinet juga dikongsi melalui platform digital.
Mesyuarat dwimingguan Majlis Tindakan Ekonomi membabitkan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga sudah dilangsungkan dalam talian. Malah temu janji juga boleh melalui sidang video. Ini adalah normal baru.
Jadi, apakah Parlimen hibrid jalannya? Saya katakan, ya.
Saya percaya, ia bukan hanya menjadi satu langkah sementara untuk menangani isu penjarakan fizikal sewaktu pandemik. Ia juga perlu berkembang menjadi satu ciri tetap sistem Parlimen kita.
Datuk Dr. Marzuki Mohamad ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri dan seorang Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










