Kosovo merupakan antara negara termuda di dunia yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008 selain Palau (2004), Timor Leste (2002), Montenegro (2006) dan Sudan Selatan (2011).
Negara republik ini berpisah dari Serbia pada 17 Februari 2008, namun peristiwa bersejarah itu sama sekali tidak diiktiraf oleh Serbia kerana menurut mereka, Kosovo masih berada dalam wilayah Serbia yang diberi kuasa autonomi.
Malaysia termasuk antara negara terawal mengiktiraf Kosovo pada tanggal 30 Oktober 2008. Turut terdapat 97 negara lagi yang mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Antaranya Singapura, Arab Saudi, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat. Rusia merupakan antara negara yang paling menentang kemerdekaan Kosovo memandangkan Rusia dan Serbia menikmati hubungan akrab disebabkan berkongsi latar belakang yang sama seperti beragama Kristian Ortodoks dan berbangsa Slav.
Hubungan Malaysia dan Kosovo bermula sejak 2000 apabila negara ini menjadi negara Asia pertama membuka pejabat perhubungan di Kosovo. Bahkan seawal 1999 lagi, Malaysia menghantar 60 anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkhidmat di bumi Balkan tersebut.
Saya menemu bual Jeton Mehmeti, 37, berasal dari Prishtina yang merupakan seorang penganalisis dasar Kosovo. Dia pernah melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 2004 hingga 2008. Menurutnya, Malaysia sangat dikenali di Kosovo dari dulu hingga sekarang.
“Pengalaman saya dengan Malaysia bermula sebelum saya melanjutkan pelajaran di Malaysia lagi. Selepas peperangan tamat, Kosovo dibanjiri pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang datang untuk membantu membangunkan semula kehidupan di sana.
GULA-GULA
“Salah sebuah pertubuhan antarabangsa tersebut ialah Mercy Malaysia. Mereka membuka sebuah klinik di kota saya. Ketika itu, saya masih muda, jadi saya tidak mengingati nama-nama mereka. Bagaimanapun saya masih boleh menggambarkan wajah-wajah doktor tersebut,” katanya.
Dalam kalangan mereka, hanya satu nama yang tidak akan pernah dia lupa, iaitu (Tan Sri) Dr. Jemilah Mahmood. Jeton masih ingat, sewaktu keluar dari klinik dengan ubat-ubatan dan gula-gula pada tangannya, Jemilah memberi jaminan dia akan sembuh dalam masa terdekat.
Menurut Jeton, perwatakan dan perkhidmatan yang disediakan oleh doktor-doktor dari Malaysia begitu berbeza berbanding pengamal perubatan dari negara-negara lain. Impak daripada kehadiran doktor-doktor kita begitu kuat terhadap diri Jeton sehingga dia memilih Malaysia untuk melanjutkan pengajian.
Ceritanya , setelah Malaysia mengiktiraf kemerdekaan Kosovo, banyak kerjasama dan projek wujud dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur. Pasukan Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) pernah berkhidmat sebagai anggota pengaman di Kosovo setelah peperangan tamat pada 1999.
BIASISWA
Hospital-hospital di sana juga banyak dibina menerusi sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia. Begitu juga anak-anak muda Kosovo, ramai menerima biasiswa daripada kerajaan Malaysia untuk belajar di Kuala Lumpur.
“Kedua-dua negara ini perlu memperhebatkan lagi kerjasama mereka dan menerokai pelbagai bidang lain.
“Kosovo bukan sahaja merupakan sebuah negara baharu di Eropah tetapi juga termuda di dunia dari segi populasi. Separuh rakyat Kosovo berumur kurang dari 35 tahun,” ujar Jeton.
Saya sendiri berpendapat, peluang kerjasama boleh dijalin antara Malaysia dan Kosovo dalam bidang perdagangan, hartanah, pertanian, pendidikan dan pelancongan.
Saya pernah menjejakkan kaki ke Kosovo pada 2015. Ketika itu, saya bersama dua orang lagi rakan yang menuntut di Turki mengembara ke ke negara-negara Balkan dengan menaiki bas. Saya lihat Kosovo kaya dengan keindahan gunung-ganang khususnya pada musim salji. Lebih menarik, rakyat Malaysia tidak perlu mendapatkan visa bagi memasuki Kosovo.
Pada 3 Februari 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pemain berasal dari Kosovo, Liridon Krasniqi mendapat taraf kewarganegaraan setelah menetap di negara ini hampir lima tahun. Ternyata, khabar gembira tersebut dilihat sebagai satu langkah yang mampu merapatkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi sukan.
Saya dapati warga Kosovo baik di negara mereka atau di Malaysia sangat mengikuti rapat perkembangan pemain naturalisasi yang berharga dan terkenal ini. Dia kini bermain untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Saya menyarankan rakyat Malaysia agar mula menerokai bumi Kosovo yang tersimpan 1,001 cerita menarik!
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.











