Young Tigers tersungkur kepada India

Young Tigers tersungkur kepada India

Meskipun gagal melangkah ke final, Malaysia terlebih dahulu sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas menewaskan tuan rumah China dalam aksi terakhir Kumpulan B.-IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian Young Speedy Tigers untuk melangkah ke final Piala Remaja Asia 2026 musnah apabila tewas 1-3 kepada India pada aksi separuh akhir di Moqi, China, hari ini.

India membuka tirai jaringan menerusi Anmol Ekka pada minit ke-16 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk memberikan kelebihan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia cuba meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan, namun India terus mengawal permainan sebelum Sukhvinder menggandakan kelebihan menerusi jaringan padang pada minit ke-51.

Anmol kemudian sekali lagi menjadi duri buat skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Malaysia tidak mengalah dan terus berusaha mencari gol bagi menghidupkan semula peluang, sebelum Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.

Bagaimanapun, jaringan itu hadir terlalu lewat untuk mengubah nasib Young Speedy Tigers yang terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 sekali gus melupakan impian untuk beraksi di pentas final.

Skuad negara kini perlu segera melupakan kekecewaan berkenaan dan mengalihkan fokus kepada aksi penentuan tempat ketiga bagi memburu penamat dengan nota positif.

Meskipun gagal melangkah ke final, Malaysia terlebih dahulu sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas menewaskan tuan rumah China dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Kejayaan itu sekurang-kurangnya memberikan suntikan besar kepada barisan muda negara untuk terus menimba pengalaman sebelum menghadapi cabaran lebih besar di pentas dunia tahun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×