GEORGE TOWN : Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) harus menjadi wadah yang membuka ruang, memperluas pandangan serta memberi pendedahan yang lebih luas agar setiap anak tanpa mengira dari mana mereka datang, berpeluang mengembangkan potensi dan melangkah lebih jauh.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, di sinilah terletak cabaran sebenar kepada pendidik kerana sistem pendidikan bukan sahaja menuntut keupayaan untuk membimbing murid yang lemah menjadi lebih cergas dan berdaya maju, tetapi, mengangkat murid yang sedia cemerlang agar menjadi lebih cemerlang.
“Pelajar MRSM merupakan antara anak-anak yang terpilih berdasarkan potensi dan pencapaian mereka. Namun, kecemerlangan sedia ada tidak bermakna tugas pendidik menjadi lebih mudah. Sebaliknya, para pendidik perlu sentiasa mencari pendekatan yang lebih progresif, kreatif dan proaktif.
“Justeru, jadikanlah MRSM sebagai tapak ujian atau medan mencungkil, menguji dan mengasah bakat terbaik agar daripada sistem ini, lahir generasi saintis, profesional dan pemimpin yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Sukan dan Permainan (SUPER-X) MRSM yang julung kalinya diadakan di Stadium Olahraga, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, malam tadi. Hadir sama Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Zulfikri Osman.
Seramai 2,968 orang atlet muda daripada 14 kontinjen yang terdiri daripada 58 buah MRSM di seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang melibatkan 10 jenis sukan itu.
Sempena kejohanan itu juga, kontinjen MRSM Kedah dinobatkan selaku juara keseluruhan mengatasi kontinjen tuan rumah, MRSM Pulau Pinang di tempat kedua manakala kontinjen Perak B pula berada pada kedudukan ketiga.
Kategori Maskot Terbaik pula dimenangi oleh MRSM Pulau Pinang manakala anugerah Perbarisan Terbaik menjadi milik MRSM Kelantan, diikuti oleh MRSM Johor dan MRSM Sarawak.
Sementara itu, Zulfikri optimis kejohanan MRSM SUPER-X boleh berkembang sebagai platform pembangunan bakat yang penting dalam ekosistem MRSM dan Mara.
Katanya, dalam hal ini, pihaknya mahu melihat lebih ramai anak-anak MRSM dilahirkan sebagai generasi berprestasi tinggi, berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat nasional serta global.-UTUSAN










