Rakyat Malaysia rancang ke Indonesia dinasihat semak status penerbangan dari semasa ke semasa - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia rancang ke Indonesia dinasihat semak status penerbangan dari semasa ke semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Indonesia khususnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, dinasihatkan merancang dan menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan walaupun pintu masuk udara utama Indonesia itu sudah kembali beroperasi sejak 8 September lalu, syarikat penerbangan dilaporkan masih membuat penyesuaian terhadap jadual penerbangan dan penumpang, khususnya penerbangan keluar dari Jakarta.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus memantau situasi rakyat Malaysia yang telah melaporkan diri sebagai terkandas pada 6 dan 7 September lalu susulan gangguan penerbangan.

“Sebahagian daripada mereka memaklumkan telah selamat kembali ke Malaysia,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan, malam tadi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan tujuh lagi lapangan terbang yang ditutup sementara sejak Ahad lalu susulan ancaman debu abu gunung berapi Anak Krakatau, telah dibuka semula pada petang Isnin.

Menurut kedutaan itu, aktiviti Gunung Anak Krakatau di Wilayah Lampung masih berada pada Tahap III, iaitu paras kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat di Indonesia, dengan aktiviti letusan masih direkodkan pihak berkuasa, semalam.

Antara gunung berapi lain yang turut dilaporkan aktif ketika ini ialah Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur, Gunung Ibu di Maluku Utara, serta Gunung Semeru di Jawa Timur.

Bagi sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui talian tetap +62 21 522 4947 / 4948 atau menerusi aplikasi WhatsApp (+62 813 8081 3036).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×