Jawatankuasa Khas HTF30 kemuka laporan interim kajian Felda kepada PM hujung bulan ini

Jawatankuasa Khas HTF30 kemuka laporan interim kajian Felda kepada PM hujung bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025–2030 (Jawatankuasa Khas HTF30) akan mengemukakan satu laporan interim yang mengandungi hasil kajian dan cadangan-cadangan penambahbaikan Felda untuk pertimbangan Perdana Menteri pada penghujung bulan ini.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara antaranya status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta pembentukan model perniagaan baharu untuk mencapai kelestarian dan kemandirian Felda.

Katanya, cadangan model Felda baharu turut menyentuh tanggungjawab Felda terhadap peneroka dan generasi seterusnya.

“Selain itu, turut diteliti isu kelemahan tadbir urus dalam pembelian/pelaburan lapan aset seperti yang terkandung dalam Kajian Forensik Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

“Isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik dan kedudukan tanah dengan Kerajaan Negeri juga diteliti,” katanya.

Menurut Jawatankuasa Khas HTF30, pihaknya hanya berperanan sebagai badan penasihat (advisory body), yang mana tanggungjawab fidusiari kekal pada Lembaga Pengarah dan pengurusan Felda serta anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Felda selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada tahun lalu bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang telah disediakan oleh pihak Felda.

“Sejak penubuhan Jawatankuasa Khas HTF30, sebanyak enam siri mesyuarat telah diadakan bersama pihak-pihak berkaitan termasuk Felda.

“Ia bagi meneliti dan mengkaji aspek berkaitan hala tuju strategik, operasi, kedudukan kewangan, struktur organisasi dan tadbir urus Kumpulan Felda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×