“HARI ini cuti umum ke?” Itu soalan sering ditanya kepada G. Susei Dass sejak dia menjadi pemandu pelancong dua tahun lalu.
Mereka yang kebanyakannya dari Eropah rasa pelik melihatkan bandar raya Kuala Lumpur sentiasa dipenuhi orang ramai dan premis-premis perniagaan masih beroperasi pada hari-hari biasa walaupun sudah tengah malam.
Di tempat mereka, pukul 8 malam bandarnya seakan-akan ‘mati.’ Premis perniagaan termasuk restoran sudah tutup.
Apatah lagi apabila Susei Dass membawa mereka menikmati hidangan autentik masyarakat Melayu, Cina dan India yang pertama kali mereka jamah walaupun di negara mereka berlambak restoran Nusantara, Cina serta India. Mereka juga dibawa ke lokasi-lokasi unik yang sinonim dengan ketiga-tiga kaum utama di negara ini.
Saya berpeluang mengikutnya membawa sekumpulan pelancong terdiri daripada 15 warga Australia dan tiga dari Amerika Syarikat (AS) bersiar-siar di ibu negara, baru-baru ini. Apa yang istimewa, mereka dibawa dengan skuter Vespa.

Lokasi pertama ialah Medan Selera Pudu bagi diperkenalkan dengan hidangan tradisional masyarakat Cina seperti mi sup, char kuetiau goreng dan mi wantan. Meskipun di Australia dan AS ada restoran Cina, tetapi menunya tidak asli seperti di sini.
Kami seterusnya ke Kwai Chai Hong terletak di Chinatown. Kawasan ini dipenuhi dengan banyak lukisan dinding dan kafe.
Ia dibaik pulih menjadi seperti galeri seni terbuka bagi menggambarkan suasananya yang begitu meriah pada 1960-an dan 1970-an. Hari itu pula berlangsung Pesta Pertengahan Musim Luruh, maka terang-benderang dan berwarna-warni dipenuhi pelbagai jenis tanglung.
Kami seterusnya bergerak ke Little India di Brickfields yang merupakan kawasan penempatan dan pusat perniagaan masyarakat India. Jaraknya bukanlah jauh sangat, kira-kira tiga kilometer sahaja.
Namun, kebetulan musim cuti sekolah, jumlah orang ramai yang bersiar-siar di ibu negara cukup luar biasa menyebabkan setiap laluan sesak. Namun, dengan jentera dua roda, tiada masalah malah perjalanan begitu lancar serta pantas.

Melihat penunggang-penunggang skuter ini membawa pelancong mencilok dalam kesesakan membuatkan saya tergamam. Saya sendiri yang memiliki Vespa pun tidak mampu menunggang sedemikian.
Bagi pelancong-pelancong terbabit yang menjadi pembonceng, keadaan itu tidak sedikit pun mendebarkan, malah mereka rasa teruja dan seronok.
“Tak takut pun, rasa selamat sebab penunggangnya sangat cekap,” kata Liberty Chung dari Sydney.
Setibanya di Little India, Susei Dass menceritakan sejarah Brickfields di mana British membawa masuk ribuan pekerja dari India dan Sri Lanka untuk bekerja di kilang batu bata selain depoh kereta api selepas kebakaran serta banjir besar memusnahkan banyak bangunan kayu di Kuala Lumpur.
Di situ mereka dijamu pelbagai hidangan tradisional masyarakat India seperti roti canai, roti tisu, tose dan teh masala di Restoran Chat Masala selepas berjalan-jalan di laluan yang menjual pelbagai pakaian serta barangan tradisional India.

Mereka kemudian ke Kampung Baru bagi menikmati nasi kerabu yang popular di Kelantan di kedai makan Kak Som. Mereka juga diberikan penerangan mengenai makanan-makanan tradisional Melayu popular.
Lokasi terakhir adalah Menara Berkembar Petronas (KLCC). Mereka tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan menara berkembar tertinggi di dunia itu.
Saya bertanya kepada Nikita Evans, berasal dari Australia Barat mengenai trip tersebut. Katanya, dia pernah melawat Thailand dan dibawa bersiar-siar dengan motosikal tetapi di sini suasananya berbeza dan lebih menarik.

“Ini pertama kali saya datang ke KL. Banyak benda unik dan istimewa boleh dilihat di sini. Tidak rugi datang ke sini,” katanya yang mula menyukai roti nan.
Pengarah Jualan Dusky Leaf Adventures, Azlan Azwan yang menganjurkan program tersebut berkata, aktiviti sedemikian sudah bermula sejak 2016 lagi. Dinamakan Cooler Lumpur by Night, ia disertai ramai pelancong dari Eropah dan Asia-Oseania.
Menurutnya, Vespa dipilih untuk membawa pelancong kerana jenama itu dikenali di seluruh dunia. Selain itu, skuter tersebut juga praktikal digunakan di dalam bandar.










