Malaysia tunggu kebenaran Indonesia untuk hantar aset bantu padam kebakaran hutan - Utusan Malaysia

Malaysia tunggu kebenaran Indonesia untuk hantar aset bantu padam kebakaran hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara ini bersedia untuk membantu Indonesia bagi memadamkan kebakaran hutanb di beberapa wilayahnya terutama Kalimantan bagi mengatasi masalah jerebu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk menghantar aset-aset memadam kebakaran yang dimiliki oleh agensi-agensi yang berkaitan di negara ini.

Bagaimanapun kata, sebelum langkah itu boleh diambil ia perlu menunggu pengesahan serta kebenaran daripada Indonesia berhubung perkara itu.

Katanya, kebersediaan menghantar aset itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar kepada Jemaah Menteri.

“Pihak NADMA dan Wisma Putra ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa senarai aset-aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran sudah disampaikan (dimaklumkan kepada negara jiran).

“Namun hingga sekarang, belum ada pengesahan mengenai apa-apa bentuk kerjasama untuk mengguna pakai aset dari Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran dan sebagainya,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet, hari ini.

Justeru, Fahmi berkata, Malaysia masih menunggu sebelum sebarang aset negara boleh digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.

“Setakat ini, kita sudah panjangkan melalui kedutaan, melalui Wisma Putra dan pihak NADMA juga sudah menyediakan (senarai aset), namun belum ada pengesahan serta kebenaran untuk mengguna pakai aset-aset Malaysia,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, mekanisme ASEAN sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, perlu ditambah baik bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri dipetik berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh menteri berkaitan pada peringkat ASEAN berikutan jerebu memberi kesan terhadap kehidupan manusia, khususnya kanak-kanak dan bayi.

Anwar berkata, isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu dilihat dengan menyeluruh serta mengenal pasti punca sebenar sebelum sebarang tuduhan dilemparkan terhadap pihak tertentu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×