Jais cemas Syahir belum cergas sepenuhnya

Jais cemas Syahir belum cergas sepenuhnya

Tekong negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui bimbang dengan tahap kecergasan tekong utama negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi yang masih belum kembali ke prestasi terbaik menjelang Sukan Asia 2026 yang berbaki kurang dari dua minggu.

Jais berkata, Syahir yang sebelum ini mengalami koyakan otot di bahagian belakang betis kanan ketika beraksi di Piala Dunia 2026 mencapai tahap 70 peratus kecergasan, sekali gus memerlukan peningkatan prestasi dalam tempoh kurang dua minggu sebelum temasya bermula.

“Daripada segi tahap kecergasan Syahir selepas pulih daripada kecederaan, saya melihat dia belum mencapai tahap terbaik.

“Dia masih bergelut dan tercari-cari rentak permainan. Dia baru 70 peratus dan perlu bekerja keras lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu memberikan tekanan berlebihan kepada pemain berkenaan kerana bimbang tindakan itu boleh mengundang kecederaan baharu, apatah lagi tempoh persiapan yang semakin singkat.

“Dalam masa sama, kita tidak boleh beri tekanan pada dia kerana masa sudah singkat. Kalau kita tekan dia, risau kecederaan lain pula yang akan datang. Itu risikonya. Jadi sekarang ini dalam 70 peratus lebih kurang,” katanya.

Syahir sebelum ini berehat selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan dan kini terus dipantau Institut Sukan Negara (ISN), termasuk menjalani sesi rehabilitasi pada sebelah malam selepas latihan pada waktu pagi.

Jais berkata, pengalaman dan kematangan yang dimiliki Syahir diharapkan mampu membantu pemain itu mengekalkan prestasi sehingga ke pentas Sukan Asia, selain terus meningkatkan tahap kecergasannya secara berperingkat.

Dalam pada itu, skuad negara kini memasuki minggu terakhir persiapan sebelum berlepas ke venue pertandingan pada 17 September ini.

Jais berkata, momentum pemain menunjukkan perkembangan positif menerusi beberapa siri perlawanan ujian, walaupun prestasi keseluruhan masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

“Daripada 16 perlawanan ujian menentang Pathum Thani University, kita menang 14 dan tewas dua.Kelemahan yang kita dapati akan cuba diperbaiki dari semasa ke semasa. Kita harap momentum ini berterusan sehingga kejohanan sebenar nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×