Eropah pelaburan hampir RM1 bilion di Greenland - Utusan Malaysia

Eropah pelaburan hampir RM1 bilion di Greenland

URSULA von der Leyen (kiri) berjabat tangan dengan Jens-Frederik Nielsen (tengah) dan Mette Frederiksen selepas menandatangani deklarasi bersama di Nuuk, Greenland.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen menyatakan soko­ngan terhadap integriti Greenland ketika beliau mengumumkan pakej pelaburan bernilai 200 juta euro (RM942.82 juta) kepada wilayah milik Denmark itu.

Pengumuman tersebut memberi tamparan hebat kepada  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kerana beliau sebelum ini mengancam untuk merampas pulau itu yang  kaya dengan sumber mineral.

Leyen mengumumkan Kesa­tuan Eropah (EU) akan membuat pelaburan tersebut di Greenland dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan meneroka bahan mentah semasa melakukan lawatan rasmi ke pulau Artik yang luas itu pada Isnin.

“Kami tahu Artik kini menjadi antara tempat di mana plat geopolitik bertembung. Jadi, kami mempunyai kepentingan langsung terhadap apa yang berlaku di sini,” katanya di Nuuk, Greenland.

Pakej kewangan itu bertujuan memperluas kehadiran blok ber­kenaan di wilayah sepa­ra auto­nomi yang sekian lama menjadi sasaran Trump.

Trump menggugat untuk mengambil alih Greenland daripada kerajaan Denmark. 

Ketegangan memuncak pa­da Januari apabila beliau mengancam mengenakan tarif ting­gi bagi mendesak Denmark me­nye­rahkan wilayah itu. 

Namun, beliau kemudian tidak lagi membuat tuntutan selepas menerima kecaman.

Pada Julai, Trump secara tiba-tiba menghidupkan semula hasratnya untuk merampas pulau itu, menunjukkan isu berkenaan masih menjadi ke­utamaannya. 

Pada Isnin, beliau menyiarkan peta dunia yang menunjukkan Greenland berada di bawah kawalan AS.

Leyen menggunakan lawatannya ke Nuuk untuk menegaskan sokongan Eropah ketika berdepan apa yang disifatkannya sebagai tekanan amat besar, meskipun beliau tidak menyebut nama Trump.

“EU berdiri teguh dalam solidariti bersama kerajaan Denmark dan rakyat Greenland. Kami akan terus berbuat demikian. 

“Kami mahu menjelaskan dengan tegas dan mengulangi sekali lagi di sini bahawa masa depan Greenland adalah untuk ditentukan oleh rakyat Greenland dan Denmark. Tiada pihak lain.

“Integriti wilayah, kedaulatan dan sempadan yang tidak boleh dicabuli . Ini adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa,” katanya kepada media.

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen dan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen yang berdiri di sisi  Leyen, mengucapkan terima kasih susulan kenyataannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×