KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan mengesahkan Dr Ainul Baroah Kamaruddin maut selepas helikopter yang dinaiki dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, petang tadi.
Adik ipar kepada Dr. Ainul Baroah iaitu Nureez Mohd. Pauzi, 35, berkata, khabar duka itu dimaklumkan oleh suami Allahyarham pada pukul 4 petang tadi.
“Abang saya (Muhammad Faiz Abdul Malik, suami Dr Ainul) memaklumkan perkara tersebut selepas menerima panggilan dari pihak KKM.
“Abang merupakan seorang guru yang berkhidmat di Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Nureez memberitahu, dia dan keluarga akan ke Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum berlepas ke Sarawak pada pagi esok.
Selain Dr. Ainul, seorang juruterbang termasuk tiga lagi penumpang turut terlibat dalam insiden tersebut.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang ini.
Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.-UTUSAN







