PETALING JAYA: Keadaan cuaca hujan hampir setiap hari mengekang usaha Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 menerbangkan dron bagi menjalankan cerapan udara di kawasan terjejas.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, pasukan SMART bagaimanapun sentiasa meneliti kaedah paling sesuai bagi memastikan aktiviti cerapan dan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum.
Menurutnya, data yang diperoleh akan dianalisis bagi mendapatkan gambaran keadaan kawasan terjejas, selain melengkapi atau menambah baik data sedia ada untuk menyokong perancangan operasi seterusnya.
“Keadaan cuaca yang hujan hampir setiap hari mengekang usaha penerbangan dron.
“Pasukan SMART sentiasa meneliti kaedah yang paling sesuai bagi memastikan aktiviti cerapan dan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nadma berkata, perancangan operasi hari ini memberi tumpuan kepada aktiviti cerapan dron meliputi kawasan antara Syafrubesi dan Timure yang dijadualkan mengambil masa selama dua hari.
Katanya, bagi memastikan liputan imej udara yang menyeluruh, kawasan cerapan dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu Sektor A, B, C dan D.
“Pembahagian tugasan dipecahkan kepada dua pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada lapan anggota, melibatkan gabungan empat anggota SMART dan empat anggota Angkatan Tentera Nepal.
“Data yang diperoleh seterusnya akan dianalisis bagi membantu mendapatkan gambaran keadaan kawasan terjejas bagi melengkapi atau menambah baik data sedia ada dan menyokong perancangan operasi seterusnya,” katanya. – UTUSAN










