PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih telus dalam pentadbiran dan tidak menjalankan kerja ‘belakang tabir’ jika mahu mengembalikan keyakinan semua pihak terhadap badan induk bola sepak negara.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Leong Hong Seng berkata, kepimpinan baharu FAM juga perlu mempunyai visi dan misi yang jelas serta mampu menterjemahkannya kepada tindakan, bukan sekadar janji ketika kempen pemilihan.
Katanya, pihaknya ketika ini masih menunggu pendekatan dan perancangan daripada dua calon Presiden FAM yang bakal bertanding pada Kongres Luar Biasa FAM pada 17 September ini.
“Setakat ini, kedua-dua blok pun belum ada yang mendekati (approach) kami. Kita pun nak tahu apa visi dan misi mereka, adakah misi itu boleh dilaksanakan (executed).
“Ini adalah perkara subjektif. Kita kena beri peluang kepada kedua-duanya kerana kita belum tahu apa perancangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hong Seng berkata, siapa sahaja yang dipilih menerajui FAM perlu memastikan setiap keputusan dibuat secara terbuka dan mengambil kira kepentingan semua ahli gabungan, bukannya hanya kelompok tertentu.
Jelasnya, kepimpinan baharu juga perlu memberi keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan, pemain muda serta jurulatih dan pegawai tempatan yang kini dilihat semakin berdepan persaingan dengan lambakan tenaga asing.
“Pembangunan mesti lebih kepada pemain tempatan dan pemain muda. Mereka perlu diberikan lebih banyak pendedahan, begitu juga jurulatih serta pegawai tempatan.
“Kita mahu FAM yang lebih telus dan mempunyai hala tuju jelas supaya semua pihak, termasuk persatuan negeri dan ahli gabungan, dapat bergerak bersama,” katanya.
Beliau juga menyifatkan dua calon yang bertanding, Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar, masing-masing mempunyai kredibiliti tersendiri untuk memimpin FAM.
‘Ab Ghani lebih ‘favourite’ kerana beliau sudah lama berada dalam landskap MFL, manakala Shahril pula mempunyai pengalaman di Selangor.
“Kedua-duanya bukan calang-calang orangnya. Kita cuma mahu melihat visi dan misi mereka serta sejauh mana ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Kongres Luar Biasa FAM pada 17 September ini bakal menyaksikan perebutan jawatan Presiden bagi baki penggal 2025-2029, sekali gus menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju baharu bola sepak negara. – UTUSAN










