PETALING JAYA: Sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang ini.
Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
“CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang,” katanya.
Menurutnya, helikopter berkenaan ketika itu sedang dalam operasi menjalankan tugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service).
Siasatan lanjut mengenai punca kejadian akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sebarang maklumat lanjut berhubung keadaan semua mangsa dan punca insiden dijangka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-UTUSAN








