IPOH: Cadangan untuk melakukan pembenihan awan ditimbulkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.
Cadangan itu datang daripada Ahli DUN Kepayang, Nga Kor Ming yang merasakan masalah jerebu di Ipoh adalah serius.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan supaya kerajaan negeri berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menilai keperluan melakukan pembenihan awan.
“Semua pihak dapat perhatikan di mana masalah jerebu pagi ini di kawasan Ipoh serius.
“Saya cadangkan kepada kerajaan negeri, sekiranya mampu susunkan langkah segera bersama Nadma. Ini supaya dapat menjaga kesejahteraan dan kesihatan rakyat,” katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan mengenai rancangan kerajaan negeri untuk membuat persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2027 di sini hari ini.
Setakat pukul 10 pagi tadi, hampir semua kawasan dalam negeri ini merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat melebihi 150 disebabkan jerebu.
Semasa persidangan DUN itu juga, Kor Ming turut bertanyakan adakah kerajaan negeri sedia memperkenalkan dana khas industri pelancongan untuk tujuan menyelenggara kemudahan awam kawasan pelancongan dan membina keupayaan pemain industri.
Katanya, ini bagi mengekalkan pencapaian negeri setelah menjadi antara yang paling popular dari segi kedatangan pelancong pada tahun lalu. – UTUSAN










