SMK Suria Jaya mula dibuka

SMK Suria Jaya mula dibuka

Selepas menanti hampir 11 tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani, dekat sini akhirnya mula beroperasi secara rasmi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Selepas menanti hampir 11 tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani, dekat sini akhirnya mula beroperasi secara rasmi hari ini, sekali gus memberi lega kepada komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, sebagai permulaan, seramai 221 murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga ditempatkan di sembilan bilik darjah.

Katanya, kapasiti sekolah berkenaan dijangka ditingkatkan kepada 30 kelas yang mampu menampung sehingga 900 pelajar apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2028.

“Pembukaan SMK Suria Jaya amat bermakna kerana sekolah ini merupakan antara kemudahan pendidikan yang sekian lama diperlukan penduduk setempat sekali gus membuka lembaran baharu kepada warga sekolah serta keluarga di kawasan ini.

“Projek pembinaan sekolah ini dimulakan pada 2013 dengan tarikh siap asal ditetapkan pada 24 Jun 2015. Bagaimanapun, ia berdepan beberapa isu pelaksanaan dan kelewatan sehingga dikategorikan sebagai projek sakit,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja pembukaan rasmi hari pertama SMK Suria Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Datuk Mohammad Najib Samuri.

Mengulas lanjut, Muhamad Naqib berkata, kemajuan fizikal projek berkenaan pernah mencapai 97 peratus pada 2020, namun beberapa baki kerja terpaksa ditangguhkan.

“Pelbagai langkah pemulihan dan penyelarasan telah diambil termasuk proses penamatan kontraktor terdahulu. Kerja-kerja pemulihan kemudian diteruskan semula pada 2023 sebelum bersedia untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pengoperasian sekolah itu dapat mengatasi masalah kelewatan sebelum ini yang memaksa sebahagian pelajar mendapatkan pendidikan menengah di kawasan luar seperti Yong Peng. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×