22 orang maut dewan majlis perkahwinan terbakar 
 - Utusan Malaysia

22 orang maut dewan majlis perkahwinan terbakar 


KEBAKARAN dahsyat meragut 22 orang ketika satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah bangunan di Lingwala. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINSHASA: Sekurang-kurangnya 22 orang maut selepas satu kebakaran besar berlaku semasa majlis perkahwinan sedang berlangsung di Republik Demokratik Congo.

Kebakaran bermula pada Jumaat dan berlanjutan hingga ke awal pagi Sabtu di sebuah bangunan dua tingkat di Lingwala, sebuah daerah di utara ibu negara Kinshasa.

Mayat mangsa yang terkorban diletakkan di tepi jalan oleh para tetamu.

Bahagian dalam bangunan itu turut rentung dijilat api dengan  kerusi, meja dan hiasan majlis hangus dijilat api.

Datuk Bandar Lingwala, Norbert Mushinga memberitahu Agensi Berita Congo bahawa angka korban sementara kebakaran itu adalah seramai 22 orang. Namun, memberi amaran jumlah berkenaan mungkin meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Punca sebenar kebakaran pada majlis perkahwinan itu masih belum disahkan, walaupun masalah litar pintas elektrik atau hiasan majlis disyaki menjadi punca kejadian.

Mushinga menambah bahawa tetamu yang cedera semasa cuba menyelamatkan diri telah dikejarkan ke beberapa hospital di kawasan sekitar.

“Ini merupakan satu tragedi,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Ne­geri Congo, Jacquemin Shabani yang melawat lokasi kejadian pada Sabtu.

Kebakaran maut dilaporkan sering berlaku di kawasan padat penduduk di Kinshasa.

Pembangunan bandar di sesetengah bahagian kota yang tidak mempunyai kemudahan keselamatan yang mencukupi, seperti perkhidmatan bomba menjadi antara punca kerap berlakunya insiden kebakaran.

Menurut media Congo, risiko berlaku kebakaran adalah jauh lebih tinggi semasa musim kemarau dengan beberapa insiden serupa telah berlaku sepanjang tahun ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×