Malaysia diberi kepercayaan cari perdamaian Selatan Thailand 

Malaysia diberi kepercayaan cari perdamaian Selatan Thailand 

MOHAMAD Hasan ketika merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang anjuran UMNO dan KRT Pinggiran Senawang di Taman Pinggiran Senawang, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Thailand memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator dalam usaha mencari jalan terbaik bagi memastikan keamanan dan keselamatan di Selatan Thailand terus terjamin. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Sihasak Phuangketkeow merangkap Menteri Luar pada Isnin ini yang diberi mandat oleh Kerajaan Thailand untuk berunding dengan Malaysia mengenai usaha memperkukuh keselamatan dan keamanan di selatan negara itu.

“Kita merupakan negara yang diberi penghormatan oleh Thailand untuk menjadi fasilitator dan berunding dengan pihak-pihak yang berkenaan.

“Seorang fasilitator baharu telah dilantik dan Isnin ini saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya, Sihasak Phuangketkeow yang diberi mandat sepenuhnya oleh kerajaan Thailand untuk berunding dengan Malaysia mengenai cara terbaik memastikan keselamatan dan keamanan di Selatan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang anjuran UMNO dan KRT Pinggiran Senawang di Taman Pinggiran Senawang semalam.

Mohamad berkata, proses rundingan berkenaan tidak mudah memandangkan banyak pihak perlu dibawa ke meja rundingan termasuk kumpulan yang berpecah kepada beberapa puak dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

“Ia seperti di Myanmar juga, banyak pihak yang terlibat, bukan satu atau dua. Dalam satu puak itu pun kadang-kadang berpecah kepada tiga atau empat kumpulan yang kadang-kadang tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Ada yang bersetuju, tetapi ada pula yang tidak bersetuju.

“Jadi bukannya mudah, sukar tetapi boleh dicapai untuk kita pastikan keamanan di Selatan Thailand dapat dicapai,” katanya.

Mohamad berkata, keamanan di wilayah berkenaan bukan sahaja penting kepada Thailand, malah memberi manfaat kepada Malaysia khususnya dari segi hubungan dan perdagangan rentas sempadan.

“Ini akan memberikan banyak faedah kepada kedua-dua buah negara kerana perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand itu besar. Rakyat Malaysia pun ramai pergi ke Thailand. Setiap hujung minggu kadang-kadang berpuluh ribu,” katanya.

Katanya, kerajaan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke Thailand, namun rakyat dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang berada di negara berkenaan.

“Kita tidak ada larangan yang dikeluarkan, tetapi nasihat perjalanan supaya berhati-hati dan berwaspada setiap masa agar keselamatan diutamakan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan banjir di Nepal, Mohamad berkata, Malaysia bersedia menghantar pakar DNA Jabatan Kimia ke Nepal bagi membantu proses pengecaman identiti mangsa bencana banjir.

Katanya, penghantaran pakar berkenaan dilaksanakan sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mempercepatkan proses pengecaman mangsa.

Katanya, sampel DNA waris terdekat bagi 55 mangsa yang masih belum dikesan telah selesai diambil dan akan dihantar ke Nepal untuk proses padanan.

“Kalau perlu, kita akan menghantar pakar-pakar daripada Jabatan Kimia untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti dan membuat padanan DNA.

“Banyak mangsa yang terlibat dan ia memerlukan masa yang panjang untuk membuat padanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×