IPU lebih 400: Kawasan jerebu teruk boleh diisytihar darurat

 IPU lebih 400: Kawasan jerebu teruk boleh diisytihar darurat

ARTHUR JOSEPH KURUP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan mempertimbang pengisytiharan darurat di kawasan yang dilanda jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 400 atau lebih.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jerebu, bacaan IPU 400 ke atas dikategorikan pada tahap sangat berbahaya dan membolehkan tindakan lebih tegas diambil bagi melindungi keselamatan serta kesihatan penduduk.

Katanya, keadaan di Serian, Sarawak ketika ini menjadi contoh apabila bacaan IPU di kawasan berkenaan pernah melebihi 500 sehingga mendorong pengisytiharan darurat.

“Kalau kita mengikut SOP, sekiranya Indeks Pencemaran Udara merekodkan 400 ke atas, ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbang untuk mengisytiharkan darurat.

“Di Serian, ia sudah merekodkan lebih daripada 500, jadi lebih layak untuk kita mencadangkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan darurat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Sekolah Angkat Malaysia Madani di Kampung Basung, di sini.

Menurutnya, status darurat berkenaan terus dilaksanakan sehingga keadaan jerebu bertambah baik dan bacaan IPU kembali menurun ke paras yang lebih selamat.

“Sekiranya ia turun daripada 500 dan kurang daripada 400, mungkin kita boleh cadangkan semula supaya pengisytiharan darurat itu dibatalkan dan ditarik balik. Jadi, sekiranya IPU memang melebihi 400, kita akan mengambil langkah yang sama mengikut SOP,” katanya.

Arthur berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan sekiranya sesuatu kawasan diisytiharkan darurat akibat jerebu adalah penutupan sekolah, menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka serta mengehadkan aktiviti luar.

“Orang ramai juga mungkin diminta bekerja dari rumah dan sebagainya, bergantung kepada keadaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memantau bacaan IPU di seluruh negara menerusi 68 stesen pemantauan.

Katanya, beberapa kawasan di selatan Sarawak mencatatkan bacaan IPU tinggi dan berbahaya secara konsisten sejak hampir seminggu lalu.

“Pada hari ini, daripada 68 stesen IPU, masih terdapat tiga stesen yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman manakala satu stesen mencatatkan bacaan berbahaya, iaitu di kawasan Serian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×