PETALING JAYA: Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin disifatkan sebagai individu ‘berjiwa besar’ apabila membuat keputusan tidak bertanding merebut jawatan presiden badan induk bola sepak itu.
Beliau bagaimanapun mengakui berat untuk membuat keputusan berkenaan tetapi demi melihat perubahan bola sepak negara, ia adalah tindakan terbaik yang diputuskannya.
Hamidin juga tampil memohon maaf kepada ahli gabungan FAM dan penyokong bola sepak Malaysia yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepadanya.
“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu.
“Iajuga bagi memastikan organisasi yang kita cintai ini kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Penarikan diri Hamidin menyaksikan persaingan merebut jawatan Presiden FAM kini membabitkan dua penjuru antara Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Sebagai individu yang sudah lama berada dalam industri bola sepak tempatan, Hamidin mahu proses peralihan kepimpinan berjalan dengan baik dan kepimpinan seterusnya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak negara. – UTUSAN










