Majoriti mahu PBAKL diteruskan sebagai acara tahunan

Majoriti mahu PBAKL diteruskan sebagai acara tahunan

Mohd.Khair Ngadiron (sembilan dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku Adibah Omar (tujuh dari kiri) bergambar bersama pasukan yang menjayakan PBAKL 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) baru-baru ini membentangkan dapatan Kajian Kepuasan dan Persepsi Pengunjung serta Kajian Penilaian Kepuasan Pempamer Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).

Kajian yang melibatkan responden sebanyak 1,685 pengunjung dan 246 pempamer itu mengesahkan bahawa PBAKL bukan sahaja terus menjadi pesta buku terbesar negara, malah semakin kukuh sebagai wadah nasional yang memperkasa budaya membaca, merangsang pertumbuhan industri buku dan menyokong agenda pembangunan negara berteraskan ilmu.

Dapatan kajian menunjukkan 94.3 peratus pengunjung berpuas hati secara keseluruhan terhadap penganjuran PBAKL 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding dengan kajian tahun sebelumnya. Tahap kepuasan ini merangkumi pengurusan acara, susun atur reruai, kemudahan, program sampingan serta pengalaman keseluruhan sepanjang pesta berlangsung.

Lebih membanggakan, 96.8 peratus responden bersetuju PBAKL berjaya meningkatkan budaya membaca rakyat Malaysia, manakala 93.8 peratus menyifatkan PBAKL memberikan pulangan ekonomi yang menguntungkan terhadap industri buku negara. Dapatan ini mengesahkan bahawa pesta buku ini memainkan peranan strategik sebagai pemangkin terhadap pembangunan ekosistem perbukuan negara.

Kajian turut menunjukkan 97.2 peratus pengunjung bersetuju PBAKL wajar diteruskan sebagai acara tahunan, manakala 98.2 peratus berpendapat kerajaan perlu terus menyokong penganjurannya, menggambarkan keyakinan masyarakat bahawa PBAKL ialah aset budaya dan pendidikan negara yang perlu diperkasa secara berterusan.

Dari sudut tingkah laku pembaca, kajian mendapati 68.9 peratus pengunjung datang ke PBAKL khusus untuk membeli buku, sementara 41.1 peratus datang mencari judul baharu. Ini menunjukkan fungsi utama PBAKL sebagai pasaran buku masih kukuh walaupun pesta ini kini berkembang sebagai festival ilmu, budaya, dan rekreasi keluarga.

Kualiti bahan bacaan yang dipamerkan turut mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan apabila 94.8 peratus pengunjung berpuas hati, sementara 89.1 peratus menyifatkan promosi dan diskaun yang ditawarkan sebagai menarik, sekali gus menjadikan tawaran penerbit sebagai faktor penting yang mendorong pembelian buku.

Program sampingan seperti forum, bengkel, dan pelancaran buku juga terus menjadi tarikan apabila 87.8 peratus pengunjung menganggap pengisian tersebut menarik, membuktikan bahawa PBAKL telah berkembang daripada sebuah pameran jualan kepada festival ilmu yang menghimpunkan penulis, penerbit, akademia, keluarga, dan masyarakat umum dalam satu ruang perkongsian ilmu.

Kajian turut memperlihatkan bahawa generasi muda terus menjadi nadi kepada PBAKL apabila 60.8 peratus pengunjung iaitu pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, manakala hampir separuh daripada keseluruhan pengunjung berusia antara 18 hingga 24 tahun. Dalam era digital, media sosial muncul sebagai medium promosi paling berkesan.

Kajian mendapati 51.3 peratus pengunjung mengetahui PBAKL melalui TikTok, diikuti Instagram (36.6 peratus), sekali gus memperlihatkan perubahan corak komunikasi masyarakat dan pentingnya strategi pemasaran digital dalam memperluaskan capaian acara berskala nasional. PBAKL juga terbukti memberikan impak kepada ekonomi pembacaan apabila hampir 47.6 peratus pengunjung berbelanja melebihi RM101, manakala kategori paling banyak dibeli ialah novel dan karya sastera (44.2 peratus), diikuti komik atau manga serta buku motivasi dan pembangunan diri. Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd.Khair Ngadiron berkata, dapatan kajian dijadikan asas penting bagi memperkukuh perancangan dan penambahbaikan penganjuran PBAKL pada masa hadapan.

Dapatan ini memberikan gambaran jelas berkenaan corak permintaan pembaca Malaysia serta peluang pertumbuhan kepada industri penerbitan.

Dari perspektif industri, majoriti pempamer merupakan penerbit berpengalaman, dengan peningkatan penyertaan syarikat yang telah menyertai PBAKL sebanyak lima kali dan lebih daripada 10 kali. Trend ini membuktikan keyakinan industri terhadap keberkesanan PBAKL sebagai platform pemasaran, penjenamaan, dan penjanaan jualan.

Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini mengesahkan bahawa PBAKL bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya sebagai pesta buku terbesar negara, malah semakin kukuh sebagai platform nasional yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu, memperkasa budaya membaca, memacu pertumbuhan industri buku serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara berteraskan pengetahuan.

Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd. Khair Ngadiron berkata, dapatan kajian ini akan dijadikan asas penting bagi memperkukuh perancangan dan penambahbaikan penganjuran PBAKL pada masa hadapan. Ia bagi memastikan PBAKL terus relevan dengan kehendak masyarakat, memenuhi keperluan industri perbukuan serta menyokong aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berbudaya membaca, dan berdaya saing di peringkat global.

Selain kejayaan penganjuran yang dibuktikan menerusi dapatan kajian, PBAKL 2026 turut mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa melalui Asian Rights Fair (ARF) 2026 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku.

Program tersebut berjaya menghimpunkan 108 syarikat industri perbukuan daripada 26 buah negara, menjayakan 801 sesi padanan perniagaan, serta disokong oleh tujuh  Duta Hak Cipta (Rights Ambassadors), 20 Felo ARF, dan tiga rakan strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×