KATHMANDU: Banjir besar melanda daerah Rasuwa di utara Nepal pada Rabu, merosakkan jalan raya dan infrastruktur elektrik ketika pihak berkuasa bertungkus-lumus menilai skala kemusnahan.
Video yang dikongsi Polis Nepal dan beberapa pihak lain di media sosial menunjukkan arus air berlumpur deras merempuh lembah pergunungan di daerah Himalaya yang bersempadan dengan China itu.
“Kami masih belum mengetahui dengan tepat skala kerosakan, tetapi banjir ini besar dan mungkin menyebabkan banyak penempatan terjejas.
“Kami sudah memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berpindah dan mengerahkan semua sumber yang ada,” kata jurucakap Polis Nepal, Abi Narayan Kafle, kepada AFP.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, mengadakan mesyuarat tergempar bersama Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi menilai keadaan.
“Usaha sudah dimulakan untuk mengambil langkah yang diperlukan dengan kerjasama pasukan perubatan, pengakap dan Palang Merah,” kata Shah menerusi satu hantaran di media sosial.
Tentera Nepal berkata pihaknya mengerahkan helikopter dan anggota tindak balas bencana ke kawasan terjejas.
“Usaha mengumpul maklumat mengenai kerosakan sedang dijalankan,” menurut kenyataannya.
Pihak Berkuasa Elektrik Nepal berkata kira-kira 430 megawatt kapasiti penjanaan, termasuk daripada kemudahan hidroelektrik dan solar, mengalami kerosakan.
“Bencana itu merosakkan kemudahan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pihak berkuasa… menyebabkan bekalan elektrik terganggu,” katanya.
Beberapa lebuh raya turut ditutup, menurut pihak berkuasa.
Hujan monsun dari Jun hingga September sering mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan banyak nyawa di seluruh Asia Selatan.
Saintis berkata perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem di rantau itu.- AFP










