Seramai 350 guru dan murid bersama-sama menjayakan Karnival “Jawi Bangkit, Kita Boleh!” yang diadakan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan, dalam usaha memperkukuh penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan murid melalui pendekatan intervensi yang lebih tersusun dan menarik.
Karnival tersebut dirasmikan oleh Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Mohd. Khuzairi Zainal.

Turut hadir ialah Guru Besar SJK(C) Bandar Sri Sendayan Chan Mun Eng; Pengarah Program Rahmatul Syukri Haidin, dan dua guru jemputan khas daripada SK.Bawang K9, Beluran, Sabah iaitu Lorenica Frenila Masundim dan Hakim Jemputan Khas serta pempamer jemputan Alexius Jillyne Ak Engkamat.
Program tersebut dianjurkan daripada keprihatinan terhadap penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan murid, khususnya murid Tahun 5 yang masih belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis Jawi dengan baik.
Sehubungan itu, program pemulihan yang lebih berfokus dirancang bagi membantu murid melalui pendekatan intervensi berstruktur sebelum kemajuan mereka dinilai menerusi pertandingan yang turut berfungsi sebagai platform motivasi.
Antara objektif utama program adalah untuk mengenal pasti dan membantu murid Tahun 5 yang belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis Jawi, membantu guru menangani masalah murid lemah Jawi di sekolah serta melaksanakan intervensi berstruktur yang diakhiri dengan pertandingan bagi meningkatkan motivasi guru dan murid.
Seramai 34 pemenang menerima hadiah dengan pencapaian markah peserta 83 peratus, dengan markah tertinggi 98 peratus bagi tempat pertama.
Satu pencapaian yang sangat baik untuk murid-murid yang asalnya adalah murid Tahap Penguasaan 2 (TP2) dalam Jawi.
Penganjuran program di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina turut membawa signifikan tersendiri. Ia memperlihatkan bahawa usaha mempelajari dan memartabatkan tulisan Jawi boleh dilaksanakan secara inklusif serta merentas latar belakang masyarakat.
Tulisan Jawi bukan sahaja mempunyai kedudukan dalam pembelajaran bahasa, malah merupakan sebahagian daripada khazanah sejarah, bahasa dan warisan negara yang wajar terus diperkenalkan kepada generasi muda.
Kehadiran lebih kurang 250 peserta dalam karnival tersebut sekali gus memberikan gambaran positif bahawa usaha membangkitkan minat terhadap Jawi boleh digerakkan melalui kerjasama sekolah, guru, murid dan komuniti pendidikan.
Melalui pendekatan pembelajaran, intervensi, pameran dan pertandingan, Karnival “Jawi Bangkit, Kita Boleh!” diharapkan dapat menjadi salah satu usaha yang menyemarakkan kembali minat generasi muda terhadap tulisan Jawi serta membuktikan bahawa warisan ini boleh dipelajari dan dihargai oleh semua.-UTUSAN










