Exco Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 baru-baru ini menganjurkan Pantera: Temasya Pantun Bitara Piala Menteri Besar Perak 2026 yang diadakan selama tiga hari di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Persembahan pembukaan oleh pasukan Bayu Berbahasa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris semasa Malam Cendana Mahkota.
Program berkenaan menghimpunkan lapan pasukan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bagi mengetengahkan keindahan seni pantun, kesantunan bahasa serta warisan budaya Melayu.
Program tersebut dianjurkan dengan tema “Pesona Budaya, Citra Malaysia” dan bertujuan memupuk perpaduan, meningkatkan penghayatan terhadap seni sastera tradisional serta memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.
Pengarah Program, Muhammad Fahmi Ariff Ahmad Zulkefley berkata, penganjuran Pantera menjadi platform terbaik untuk memartabatkan seni pantun dalam kalangan generasi Muda.
“PANTERA bukan sekadar pertandingan pantun, malah menjadi medium untuk mahasiswa menghayati nilai budaya, kesantunan bahasa dan semangat perpaduan. Kami berharap program ini dapat terus menjadi platform yang melahirkan generasi yang cintakan warisan bangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Felo Kolej Harun Aminurrashid Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, menyifatkan program berkenaan sebagai satu inisiatif yang mampu memperkasa jati diri mahasiswa melalui penghayatan seni warisan negara.
“Pantun merupakan khazanah budaya yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.

“Melalui program seperti ini, mahasiswa bukan sahaja dapat mengasah bakat, malah membina keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran berkomunikasi secara berhemah,” katanya.
Felo Penasihat Program, Muhamad Rusham Rustan Nursim berkata, perpaduan dalam kalangan mahasiswa perlu dipupuk melalui program yang menyatukan pelbagai latar belakang dan budaya.
“Mahasiswa merupakan golongan yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Oleh itu, semangat perpaduan, toleransi dan hormat-menghormati perlu diterapkan agar mereka dapat hidup dalam suasana yang harmoni serta menjadi pencorak masyarakat yang bersatu padu,” jelas beliau.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah melalui beberapa peringkat pertandingan sebelum empat pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya beraksi dalam perlawanan akhir.

Pada pertandingan akhir, pasukan Indera dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) B berjaya dinobatkan sebagai johan, manakala pasukan Adyakala Budi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A muncul sebagai naib johan.
Pasukan Rentaka (UiTM A) dan Laleng Rahayu (UIAM B) pula berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Anugerah Pemantun Terbaik Akhir telah disandang oleh Putri Nurizzah Salimah Mohamad Zainuddin daripada pasukan Indera Universiti Teknologi Mara (UiTM) .

Selain itu, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai kecemerlangan dan kreativiti peserta sepanjang temasya berlangsung, antaranya Anugerah Busana Terbaik, Anugerah Pembukaan Terbaik dan Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pejabat Menteri Besar Perak, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak serta GEMAWAN atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.-UTUSAN










