Seramai 271 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, Kota Bharu baru-baru ini menyertai program Fun Walk Merdeka sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026 yang diadakan dalam suasana meriah dan penuh semangat patriotik.
Program yang bertemakan Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati itu membawa peserta menyusuri laluan merentas desa di sekitar kawasan sekolah termasuk jalan belakang sekolah dan kawasan Masjid Banggu.
Sepanjang perjalanan, murid berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar kampung.
Suasana tersebut memberikan pengalaman berbeza kepada murid sambil menghayati makna sambutan Bulan Kebangsaan.
Lebih menarik, setiap kumpulan peserta diiringi sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux yang dipandu guru sambil memainkan muzik dan lagu-lagu patriotik. Murid pula berjalan kaki dengan penuh semangat, manakala sebahagian peserta turut berbasikal menggunakan basikal yang dihias dengan pelbagai dekorasi bertemakan kemerdekaan.
Kibaran Jalur Gemilang turut memeriahkan perjalanan apabila murid dan guru mengibarkan bendera kebanggaan negara sepanjang laluan.
Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar, berkata program berkenaan memberikan pengalaman indah kepada semua peserta selain menjadi medium untuk murid menghayati sambutan Bulan Kebangsaan secara lebih dekat dan bermakna.
“Fun Walk Merdeka ini memberi peluang kepada murid untuk bersama-sama meraikan kemerdekaan, menghayati keindahan persekitaran dan menyemai semangat patriotik. Program ini turut disertai 28 guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan seluruh warga SK Mentera,” katanya. – UTUSAN










