Guna bahasa Melayu sahaja

Guna bahasa Melayu sahaja

PENGGUNAAN bahasa Melayu di tempat awam penting supaya setiap maklumat dapat difahami oleh semua rakyat tanpa mengira kaum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLEMIK berkenaan penggunaan bahasa Mandarin pada kain rentang yang dipamerkan di tempat awam, seperti di tepi jalan, memperlihatkan beberapa pihak, khususnya etnik Cina, gagal memahami perkara penting yang sebenar.

Daripada pelbagai hujah yang dikemukakan bagi membantah teguran penggunaan bahasa Mandarin tersebut adalah salah, masyarakat Cina secara umumnya dilihat masih belum memahami persoalan yang lebih besar.

Isunya bukan sekadar penggunaan sesuatu bahasa tetapi keperluan menggunakan bahasa di tempat awam yang dapat difahami dengan mudah dan cepat oleh semua pihak, khususnya mereka yang berada atau melalui kawasan berkenaan.

Sebaliknya, masyarakat Cina dilihat terlalu menumpukan perhatian kepada persoalan sama ada penggunaan bahasa Mandarin itu salah atau tidak. Keadaan ini seolah-olah menyebabkan mesej utama di sebalik teguran tersebut tidak difahami.

Mereka bukan sahaja mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin sebagai sebahagian daripada hak etnik Cina yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, malah berhujah kain rentang berkenaan berkaitan dengan satu perayaan dalam sistem kepercayaan yang khusus kepada masyarakat Cina.

Atas landasan itu, mereka turut membangkitkan perkara yang tidak berkaitan, termasuk dakwaan bahawa teguran tersebut bertujuan menyekat kebebasan beragama. Sedangkan, perkara utama yang ditegur ialah penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan pada paparan awam dalam apa-apa bentuk sekalipun.

Persoalannya bukan menyentuh soal kepercayaan atau kebebasan beragama tetapi penggunaan bahasa pada ruang awam yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan bahasa.

Perkara ini tidak wajar kerana bukan semua pihak dapat memahami pemberitahuan dalam bahasa Mandarin. Ini kerana bahasa Mandarin hanya bahasa etnik Cina dalam dasar bahasa di negara ini.

Bahasa itu hanya diketahui etnik Cina. Itupun, jika mempelajarinya dan yang menjadikan bahasa Mandarin bahasa ibunda.

Sementara etnik Cina yang terdiri daripada pelbagai suku, antaranya Hokkien, Hailam, Hakka dan Kantonis, sebenarnya tidak mengetahui bahasa Mandarin secara tabii, melainkan mempelajarinya di sekolah dan menjadikannya bahasa ibunda di rumah.

Ini bermakna bukan semua etnik Cina memahami bahasa Mandarin, apatah lagi etnik bukan Cina. Maka, penggunaannya di tempat awam tidak wajar.

Penggunaan bahasa dalam konteks formal, termasuklah di tempat awam, hendaklah mengikut peraturan lazim. Antaranya dalam konteks kolektif yang melibatkan masyarakat umum. Untuk itu, seharusnya bahasa negara digunakan, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.

Ini kerana sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu sepatutnya digunakan juga bagi berurusan dengan orang awam oleh semua pihak, bukan sahaja oleh pemerintah.

Penggunaan bahasa Melayu dalam hal sebegini juga boleh dilihat dari segi peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam peranan ini, bahasa Melayu yang dimiliki oleh setiap rakyat di segenap pelosok negara, adalah bahasa paling sesuai untuk digunakan.

BAHASA MELAYU UNTUK SEMUA

Hal ini kerana bahasa kebangsaan sepatutnya diketahui, dikuasai dan digunakan dengan baik oleh setiap warganegara Malaysia. Sebagai bahasa rasmi negara, kedudukannya amat penting dalam pelbagai urusan.

Malangnya, bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang mempunyai dua peranan penting itu masih belum dikuasai dengan baik, malah tidak sepenuhnya diterima dalam amalan sebagai bahasa utama bagi pelbagai urusan di negara ini.

Keadaan tersebut dapat dilihat dalam urusan rasmi di jabatan kerajaan mahupun komunikasi tidak formal dalam kalangan masyarakat.

Berbalik kepada polemik itu, penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara cocok sekali. Ini kerana penggunaan bahasa itu menegaskan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Di samping itu, ia juga sebenarnya bahasa yang paling praktikal untuk digunakan kerana secara umumnya kerana dapat difahami dengan mudah lagi cepat oleh semua pihak. Ini kerana semua rakyat rata-ratanya berpendidikan kebangsaan.

Justeru mereka mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi untuk memahami apa sahaja yang disampaikan dalam bahasa Melayu selaku bahasa negara. Sewajarnya tiada lagi apa-apa alasan oleh rakyat setelah begitu lama tertubuhnya negara ini pada 1957 lagi, untuk mengatakan masih ada dalam kalangan mereka yang masih tidak boleh memahami bahasa Melayu dengan baik.

Tetapi, itulah hakikatnya, apabila masih terdapat rakyat, malah ramai pula bilangannya yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik. Oleh itu, bagi mereka, ada keperluan, malah amat mendesak untuk mengadakan pemberitahuan dalam bahasa Mandarin sebagai makluman kepada etnik Cina tentang sesuatu perkara itu.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah kecenderungan sesetengah masyarakat Cina yang menganggap penggunaan bahasa Melayu ketika berkomunikasi sesama mereka sebagai sesuatu yang tidak wajar atau tidak biasa diamalkan.

Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris diterima tanpa persoalan sebagai bahasa komunikasi. Keadaan ini memperlihatkan wujudnya perbezaan penerimaan terhadap bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat.

Sesungguhnya, teguran supaya bahasa Melayu digunakan di tempat awam mempunyai asas yang kukuh. Dari sudut peraturan, bahasa Melayu ialah bahasa negara yang sewajarnya menjadi bahasa utama pada paparan dan urusan awam. Dari sudut praktikal pula, penggunaannya membolehkan maklumat yang disampaikan difahami oleh semua pihak dengan mudah, tanpa mengira latar belakang mereka.

Dalam pada itu, setiap pemberitahuan di tempat awam hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang berada atau melalui kawasan berkenaan. Maklumat yang disampaikan perlu dapat difahami dengan mudah agar tiada pihak yang tercicir atau keliru terhadap mesej yang ingin disampaikan.

Alasan bahawa penggunaan bahasa lain, misalnya bahasa Mandarin, bertujuan menarik perhatian masyarakat Cina semata-mata juga kurang tepat, malah bersifat eksklusif. Hal ini kerana tidak semua masyarakat Cina memahami bahasa Mandarin. Justeru, penggunaan bahasa tersebut bukan sahaja tidak mencapai tujuan komunikasi secara menyeluruh, malah boleh menyebabkan sebahagian daripada masyarakat Cina sendiri tidak memahami maklumat yang disampaikan.

Selain itu, meletakkan pemberitahuan di tempat awam yang ditujukan khusus kepada masyarakat Cina sahaja juga kurang wajar. Ruang awam merupakan tempat yang dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat. Oleh itu, menyampaikan maklumat dengan cara yang seolah-olah mengecualikan etnik lain daripada memahaminya tidak mencerminkan semangat keterangkuman dan kesopanan dalam kehidupan bermasyarakat.

Alasan penggunaan bahasa Mandarin di tempat awam merupakan hak masyarakat Cina atas dasar kepelbagaian juga kurang tepat. Kepelbagaian tidak bermakna setiap pihak boleh menggunakan bahasa sesuka hati tanpa mengambil kira peraturan dan kepentingan bersama. Sebaliknya, setiap pemberitahuan di ruang awam hendaklah mudah dan cepat difahami oleh semua pihak. Oleh itu, bahasa yang digunakan perlu merupakan bahasa yang difahami secara meluas, khususnya oleh rakyat Malaysia.

Inilah sebab utama kain rentang tersebut menjadi polemik. Sebarang pemberitahuan yang menggunakan ruang awam sewajarnya disampaikan dalam bahasa yang dapat difahami oleh masyarakat umum. Teguran berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama atau hak mana-mana kaum, sebaliknya mempersoalkan kewajaran penggunaan bahasa pada pemberitahuan awam yang tidak difahami oleh sebahagian besar masyarakat.

Walaupun kain rentang dalam bahasa Mandarin itu ditujukan khusus kepada masyarakat Cina berkaitan tradisi mereka, penggunaannya di ruang awam boleh menimbulkan salah faham dan syak wasangka dalam kalangan pihak yang tidak memahaminya. Keadaan ini boleh dielakkan dengan menggunakan bahasa yang difahami secara meluas oleh rakyat.

Oleh itu, semua pihak perlu lebih peka dan bertimbang rasa ketika menggunakan ruang awam. Dalam sebuah negara majmuk, kepelbagaian perlu diraikan tanpa mengabaikan kepentingan bersama, termasuk memastikan setiap maklumat yang disampaikan di ruang awam dapat difahami oleh masyarakat umum. –UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×