The Curve tampil membawa pengunjung mengenali kisah dan warisan koko Malaysia dengan lebih dekat menerusi Malaysia Choco Fest yang menghimpunkan pencinta coklat, keluarga dan komuniti.
Festival ini mengetengahkan industri koko Malaysia menerusi pameran produk, aktiviti interaktif serta pengalaman secara langsung, sekaligus memberi peluang kepada pengunjung mengenali perjalanan koko daripada biji koko sehingga menjadi coklat.
Dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM), Cadbury Dairy Milk Malaysia dan Tourism Selangor, pengunjung turut berpeluang mendapatkan bimbingan daripada pakar LKM mengenai penanaman koko serta penghasilan coklat.
Antara tarikan utama ialah Chocolate Marketplace yang menghimpunkan 20 pempamer coklat terpilih oleh LKM dan Cadbury Dairy Milk Malaysia.
Pengunjung berpeluang menerokai pelbagai ciptaan, produk dan inovasi coklat yang ditampilkan menerusi pasar tersebut.

Beberapa ruang di The Curve turut diubah mengikut tema coklat, dengan Centre Court menampilkan Choco Pavilion, The Street sebagai Choco Dessert Lane dan Piazza pula ditransformasikan menjadi Choco Factory.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh menerokai zon khas seperti Artisan Zone, Kids’ Corner, Sampling Area dan Chocolate Exhibition yang mengetengahkan kreativiti, kemahiran serta pengalaman berkaitan coklat.
Pelbagai aktiviti bertemakan coklat turut disediakan, termasuk permainan interaktif dan demonstrasi coklat secara langsung.
Antara acara yang diketengahkan ialah Chocolate Fantasy Runway Challenge oleh Malaysia Association of Ethical Designers (MAEFD), yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menyerlahkan kreativiti.
Bagi keluarga, kemunculan istimewa Profesor Koko turut menjadi antara tarikan yang disediakan sepanjang festival.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi Golden Ticket, termasuk MacBook Neo, Instax Mini, ketuhar gelombang mikro dan peti sejuk.
Selain itu, The Curve turut menyediakan 100 beg cenderahati eksklusif setiap hari kepada pengunjung yang mendaftar.

Pengurus Besar The Curve, Elaine Liew berkata, coklat sentiasa dikaitkan dengan momen kegembiraan dan kebersamaan.
“Coklat sentiasa dikaitkan dengan momen kegembiraan dan kebersamaan. Ini menjadikannya cara yang sesuai untuk menghimpunkan komuniti, memberi ruang kepada kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan untuk meluangkan masa bersama sambil mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya.
Dia berkata, Malaysia Choco Fest merupakan sebahagian daripada usaha The Curve untuk menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada pengunjung.
“Malaysia Choco Fest merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menawarkan lebih banyak pengalaman bermakna kepada pengunjung, di mana setiap kunjungan menjadi peluang untuk belajar sambil mencipta kenangan bersama,” katanya.











