MCA kembali dalam Kerajaan Negeri Sembilan  selepas 13 tahun

MCA kembali dalam Kerajaan Negeri Sembilan selepas 13 tahun

SIOW Kong Choon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas 13 tahun tidak mempunyai wakil dalam barisan pentadbiran negeri, MCA kembali mewakili parti itu dalam Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Kong Choon.

Kong Choon, menjadi satu-satunya wakil MCA dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kali ini, dilantik memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Beliau menggangap kepercayaan diberikan oleh parti dan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada parti dan Menteri Besar atas kepercayaan yang diberikan untuk melantik saya sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.

Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan itu berkata, meskipun beliau merupakan wakil masyarakat Cina dalam barisan Exco kali ini, tanggungjawab yang dipikul adalah untuk memastikan kepentingan semua kaum dan lapisan masyarakat diberi perhatian.

Katanya, perkara itu selaras dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang merangkumi kepentingan seluruh rakyat.

“Saya yakin bersama rakan-rakan Exco yang lain di bawah kepimpinan Menteri Besar, kita akan berusaha menunaikan apa yang telah kita janjikan dalam manifesto BN,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat,  namun beliau mempunyai pengalaman sebagai sebahagian daripada jentera Barisan Nasional (BN) di Bahagian Jelebu, khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Saya membantu beliau menguruskan perkara berkaitan masyarakat Cina dan itulah pengalaman yang membantu saya untuk memikul amanah kali ini,” katanya.

Kong Choon berjaya memenangi DUN Chennah selepas memperoleh 5,726 undi, menewaskan penyandang Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dengan majoriti 688 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×