Sistem canggih, kenapa penyeludupan di KLIA masih bolos?

Sistem canggih, kenapa penyeludupan di KLIA masih bolos?

KLIA mempunyai sistem keselamatan yang dianggap terbaik di dunia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES penahanan juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia atas dakwaan menyeludup dadah disusuli beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia yang ditahan di lapangan terbang luar negara menimbulkan persoalan besar mengenai tahap kese­lamatan penerbangan negara.

Bagaimana kegiatan penyeludupan masih ‘bolos’ dan boleh berlaku walaupun negara memiliki sistem keselamatan penerbangan yang moden dan berlapis.

Malaysia mempunyai kemudahan keselamatan lapangan terbang bertaraf tinggi termasuk penggunaan teknologi seperti Mesin Pengimbas Bagasi Kecerdasan Buatan (AI), Sistem Digital Imigresen Bersepadu (MyNIISe) dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Malah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sendiri diiktiraf antara lapangan terbang terbaik dunia mencerminkan tahap infrastruktur dan pengurusan yang menjadi kebanggaan negara.

Namun, kecanggihan teknologi tidak akan bermakna sekiranya wujud kelemahan manusia atau sistem yang boleh dieksploitasi.

Persoalan turut timbul apabila setiap agensi telah menjalankan penyeliaan serta melaksa­nakan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing, namun masih terdapat kelemahan sehingga menyebabkan beberapa perkara terlepas daripada pemantauan.

Antara pihak dipertanggungjawabkan iaitu Kementerian Pe­ngangkutan, Kementerian Da­lam Negeri, Polis Diraja Malay­sia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen, Kastam, pihak pengurusan lapangan terbang serta syarikat pe­nerbangan.

Dalam menangani kes seperti ini, tumpuan tidak seharusnya beralih kepada mencari pihak mana yang perlu dipersalahkan semata-mata.

Justeru, semua pihak berkuasa terlibat, mungkin juga memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat perkara ini secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut kesalahan individu yang terlibat atau agensi tertentu, tetapi juga kemungkinan wujudnya unsur penglibatan orang dalam, penyalahgunaan kuasa atau kelemahan prosedur yang membuka ruang kepada aktiviti rasuah.

Ancaman daripada ‘orang da­lam’ merupakan antara cabaran terbesar dalam keselamatan penerbangan kerana individu yang mempunyai akses sah ke kawasan operasi mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki pihak luar.

Jika terdapat individu yang sanggup mengambil kesempatan terhadap kedudukan mereka, sistem keselamatan yang paling canggih sekalipun boleh ditembusi.

Oleh itu, siasatan perlu menjurus kepada persoalan sama ada wujud kelemahan dalam proses pemeriksaan, pemantau­an kakitangan, kawalan akses, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau kemungkinan berlaku kegagalan integriti dalam kalangan pihak yang mempunyai kuasa dan akses.

Perkara ini penting kerana pintu masuk negara bukan ha­nya bergantung kepada mesin dan teknologi tetapi turut bergantung kepada manusia yang mengendalikan sistem tersebut.

Dalam konteks ini, semua pihak berkuasa perlu meneliti sama ada terdapat kelemahan koordinasi antara agensi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan sempadan dan penerbangan.

Banyak agensi yang terlibat menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menjaga keselamatan negara, namun jumlah agensi yang ramai tidak semestinya menjamin keberkesanan sekiranya penyelarasan, perkongsian maklumat dan tindakan penguatkuasaan tidak berjalan secara optimum.

Sebarang kelemahan yang dikesan perlu dilihat sebagai ruang untuk memperkukuh sistem, termasuk memperketat tapisan keselamatan berkala, audit dalaman, pemeriksaan mengejut serta pemantauan terhadap kakitangan yang mempunyai akses ke kawasan sensitif.

Dalam menangani isu ini, matlamat utama bukan sekadar mencari pihak untuk dipersalahkan tetapi memastikan ruang kelemahan yang boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dapat ditutup sepenuhnya.

Kepercayaan terhadap profe­sionalisme kakitangan kese­lamatan penerbangan perlu dikekalkan, namun ia mesti disokong dengan sistem kawalan dan pemantauan yang kukuh bagi mencegah sebarang penyalahgunaan.

Insiden ini menjadi peringatan bahawa keselamatan sempadan negara bukan hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi tetapi turut bergantung kepada integriti manusia yang mengendalikan sistem tersebut.

SPRM mempunyai peranan penting untuk memastikan terdapat penyalahgunaan kuasa sehingga membawa kepada ra­suah, selain pihak berkuasa lain mencari jawapan terhadap persoalan bagaimana kecanggihan sistem kawalan keselamatan di pintu masuk negara terdedah kepada ancaman, sekali gus menanganinya supaya tidak berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×