PETALING JAYA: Pengorbanan para pahlawan dan seluruh wira negara dalam mempertahankan keamanan, keselamatan serta kedaulatan tanah air perlu terus dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pahlawan merupakan legasi yang tidak ternilai serta wajar terus disemarakkan dalam sanubari setiap rakyat.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Pahlawan 2026 yang turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh perwira negara.
Beliau yang diiringi isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Munirah Che Rose serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2026 kepada semua wira negara.
“Mengenang jasa, menghargai pengorbanan. Semoga semangat perjuangan para pahlawan terus menjadi inspirasi dalam mempertahankan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
“Pengorbanan mereka demi tanah air akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah serta dikenang sepanjang zaman,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wira negara yang telah berkorban demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
“Terima kasih, wira-wira negara. Jasamu dikenang, perjuanganmu disanjung,” katanya.-UTUSAN










