PUTRAJAYA : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati masih ramai lagi individu terlibat dalam kes penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata, siasatan masih berjalan untuk meneliti tahap pembabitan mereka.
“Siasatan masih berjalan dan menjangkakan lebih banyak tangkapan dan sitaan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Dua syarikat turut disyaki terbabit dalam proses permohonan dan kelulusan PLKS secara tidak sah, namun identiti syarikat berkenaan tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Op Crack bermula hasil perkongsian maklumat risikan antara SPRM dan JIM sejak Mei lalu sebelum operasi dilaksanakan Selasa lalu.
“Operasi itu membabitkan Cawangan Projek Khas Bahagian Perisikan SPRM bersama Bahagian Perisikan JIM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Bahagian Forensik Teknologi SPRM.
“Sehingga kini, seramai 12 individu direman antara dua hingga tiga hari bermula 29 Julai hingga hari ini bagi membantu siasatan,”jelasnya.
Katanya, mereka terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis.
“Selain itu, SPRM turut memanggil empat individu untuk dirakam keterangan dan akan memanggil beberapa lagi individu sebagai saksi bagi membantu siasatan.
“Dalam operasi itu, SPRM menyita wang tunai RM186,360, mata wang asing berjumlah 700 dolar Singapura ( RM2,313), 19 telefon bimbit, enam komputer riba, dua komputer, dua unit CPU dan router,” katanya.
Katanya, turut disita ialah tujuh keping jongkong emas seberat 0.2 gram setiap satu, sekeping jongkong emas seberat dua gram, satu rantai emas, satu gelang emas dan satu rantai kunci emas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15,700, manakala tindakan pembekuan akaun individu sertai syarikat sedang dilaksanakan.
Mengenai status reman 12 suspek, Abd Halim berkata, tempoh reman mereka berakhir hari ini dengan SPRM akan memohon sambungan reman terhadap mereka.
“Reman mereka tamat hari ini. Ada yang kita akan mohon sambung reman bergantung kepada mahkamah sama ada membenarkan atau tidak,” katanya. –UTUSAN










