KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mendedahkan,perbezaan agama menjadi antara faktor utama yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menamatkan hubungan percintaan dengan bekas kekasihnya.
Menurut Daiyan, soal agama merupakan perkara penting baginya terutama apabila sesebuah hubungan sudah menuju ke arah yang lebih serius dan melibatkan soal perkahwinan.
Jelas Daiyan, dia mengharapkan seorang suami yang bukan sahaja memahami agama Islam, malah mempunyai ilmu yang mencukupi untuk membimbingnya dalam kehidupan berumah tangga.
“Betul, saya tak tahu nak jelaskan macam mana lagi sebab bagi Daiyan benda itu memang penting. Kalau dia bukan Muslim dan hatinya tidak terbuka untuk mempelajari atau mendalami Islam, bagi Daiyan perkara itu agak sukar.
“Sebagai seorang bakal suami dalam keluarga, bagi Daiyan penting untuk dia mempunyai ilmu agama supaya dia boleh membimbing Daiyan. Kita tahu kita ini banyak kekurangan, jadi kalau boleh memang nak cari suami yang boleh membawa dan membimbing kita. Itu sebenarnya perkara utama bagi Daiyan,” katanya.
Dalam masa sama, Daiyan mengakui dia sendiri membuat keputusan untuk menamatkan hubungan berkenaan selepas melihat kekangan dari sudut agama sukar untuk diselesaikan.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-duanya sudah berusaha untuk meneruskan hubungan, namun dia sedar perkara membabitkan prinsip hidup tidak boleh dikompromi.
“Mestilah saya yang buat keputusan. Sebab saya rasa saya pun bukan semakin muda. Kita sudah cuba dan ada usaha, tetapi kalau dah tak ada jodoh dan kekangannya dari segi agama, perkara itu memang saya tak boleh terima.
“Bagi saya, apabila hubungan itu sudah semakin serius, perkara seperti ini perlu jelas kerana kita bukan sekadar bercinta tetapi perlu memikirkan ke mana arah hubungan tersebut selepas itu,” ujarnya.
Mengulas tahap keseriusan hubungan berkenaan, Daiyan berkata, mereka pernah bertemu keluarga masing-masing selain cuba melihat keserasian sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Bolehlah dikatakan serius. Kami cuba berjumpa keluarga dan melihat keserasian. Tetapi apabila sudah sampai ke tahap itu, kalau awak tidak mahu mempertimbangkan, mendalami atau membuka hati untuk meneruskan hubungan ini, bagi saya memang sukar untuk saya teruskan.
“Sebab itu apabila hubungan sudah menuju ke arah serius, saya terpaksa berpisah. Apa gunanya saya teruskan kalau sebelum ini semuanya okey tetapi apabila sampai kepada perkara sebenar dan serius, perkara penting itu pula tidak boleh dipenuhi?
“Jadi, saya pilih untuk tidak terlalu terikat dan kami akhiri hubungan dengan cara yang baik,” katanya.
Menurut Daiyan, hubungan tersebut berlangsung kira-kira lapan bulan dan dia tidak menafikan masih mempunyai perasaan terhadap bekas kekasihnya ketika keputusan berpisah dibuat.
Dalam pada itu, Daiyan berkata, dia tidak pernah memberikan tekanan kepada dirinya untuk segera mencari pasangan meskipun sering berdepan pertanyaan mengenai jodoh dan perkahwinan.
Sebaliknya, penyanyi dan pelakon itu mengakui bahagia dengan kehidupannya ketika ini dan tidak melihat status tanpa pasangan sebagai sesuatu yang perlu mengganggu emosi mahupun kehidupannya.
“Sebenarnya saya tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri. Saya sangat bahagia sekarang walaupun tidak mempunyai pasangan. Saya memang sangat bahagia dan tidak pernah bangun pagi kemudian terfikir, ‘Alangkah indahnya kalau ada teman lelaki.’ Memang tidak ada perasaan seperti itu.
“Saya rasa Allah sudah berikan terlalu banyak perkara kepada Daiyan dan saya sangat bersyukur. Kalau tiba-tiba kita nak juga ini dan itu, saya rasa macam tamak pula.
“Kita tahu Allah Maha Memberi, tetapi bagi Daiyan kalau belum ada buat masa sekarang, saya okey dan saya terima sahaja,” katanya.
Tambah Daiyan, dia lebih memilih untuk menghargai pelbagai rezeki lain yang diterimanya termasuk keluarga, sahabat serta kerjaya yang terus berkembang.
“Tidak ada perasaan seperti, ‘Kenapa kita masih belum ada pasangan? Bila nak dapat?’ Saya tidak ada unsur seperti itu. Saya lebih kepada bersyukur dengan semua rezeki yang Daiyan dapat selama ini.
“Saya ada keluarga, kawan-kawan dan rezeki kerja yang tidak berhenti-henti. Semua itu bagi Daiyan sesuatu yang sangat berharga. Jadi, soal pasangan bukanlah sesuatu yang sampai mengganggu emosi dan kehidupan saya,” katanya.
Pada masa sama, Daiyan berpegang kepada prinsip bahawa lebih baik tidak mempunyai pasangan daripada berada dalam hubungan yang tidak sesuai atau bukan yang terbaik untuk dirinya.
Malah, pada tahap usianya sekarang, Daiyan berkata, setiap perkenalan atau janji temu seharusnya mempunyai tujuan yang jelas iaitu menuju ke arah perkahwinan.
“Bagi saya, lebih baik tidak berada dalam hubungan daripada kita berada dalam hubungan yang bukan terbaik untuk kita. Pada umur saya sekarang, kalau berjumpa atau keluar dengan seseorang, sudah tentulah tujuannya untuk berkahwin.
“Kalau saya belum jumpa orang yang sesuai, buat apa saya nak keluar sekadar suka-suka? Kalau tidak serius, tak payahlah. Baik duduk di rumah, buat lebih banyak lagu atau belajar memasak,”katanya.










