Tanggungjawab siapa lantik doktor kontrak ke jawatan tetap? - Utusan Malaysia

Tanggungjawab siapa lantik doktor kontrak ke jawatan tetap?

PETUGAS perubatan merawat pesakit Covid-19 di hospital di Colombres, berhampiran Paris, Perancis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siapakah sebenar bertanggungjawab melantik dan menyerap pegawai perubatan kontrak ke dalam perkhidmatan tetap?

Bagaimana pula prosedur atau syarat kelayakan bagi memastikan nasib golongan profesional itu meneruskan khidmat sebagai doktor jika belum mendapat manfaat sama seperti pegawai lantikan tetap kerajaan?

Persoalan itu timbul ekoran pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan belum mencapai kata putus mengenai masa depan profesion tersebut.

Situasi terumbang-ambing itu juga membuatkan golongan doktor berstatus kontrak merancang mengadakan mogok pada 26 Julai ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, JPA perlu mewujudkan lebih banyak jawatan pegawai perubatan tetap seperti yang dimohon dan disyorkan Kementerian Kesihatan sebelum pihaknya meluluskan sebarang pelantikan.

“Isu utama di sini adalah JPA mesti meleraikan isu keperluan jawatan doktor pada setiap tahun seperti yang dimohon kementerian. Jika masalah ini diselesaikan, maka SPA sentiasa bersedia melantik terus kerana ada jawatan sah.

“Adalah dimaklumkan bahawa kementerian tidak akan mengemukakan kepada SPA untuk pelantikan doktor perubatan jika tidak ada perjawatan,” katanya.

Zainal menjelaskan, isu pelantikan pegawai perubatan bermula dengan Kementerian Kesihatan merancang untuk melantik doktor bagi mengisi perjawatan sama ada secara kontrak atau tetap.

Justeru, permohonan tersebut perlu dimohon melalui JPA dan kemudian jabatan berkenaan merujuk kepada Kementerian Kewangan untuk memastikan ada sumber wang mencukupi bagi membayar gaji, elaun dan pencen pegawai.

Katanya, setelah JPA meluluskan jumlah perjawatan dan ada waran perjawatan diluluskan Kementerian Kewangan, barulah perkara tersebut dikemukakan kepada SPA untuk melantik pegawai perubatan berdasarkan jumlah jawatan diluluskan.

“Sebaik sahaja menerima keperluan pelantikan ini, SPA segera menjalankan proses lantikan dalam tempoh 24 jam melalui sistem pengurusan pelantikan dan keputusan mesyuarat e-circulation meluluskannya.

“Maknanya, sejumlah mana kementerian mohon, maka sejumlah itulah yang diluluskan oleh pelantikan pegawai perubatan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dilaporkan berkata, lantikan tetap pegawai perubatan kontrak bukan ditentukan pihaknya semata-mata sebaliknya, keputusan akhir dibuat SPA dan JPA mengikut kekosongan sedia ada.

Difahamkan, terdapat 23,077 Pegawai Perubatan UD41 dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan klinikal dan khidmat wajib tetapi hanya 789 pegawai baru diserap sebagai kakitangan tetap.

Isu baki yang tidak bernasib baik itu menyebabkan kedengaran beberapa wakil doktor kontrak di seluruh negara merancang untuk mogok pada 26 Julai ini sekiranya isu pelantikan tetap mereka tidak selesai.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd Rahman berkata, isu pengambilan doktor kontrak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan namun tetap bergantung kepada peruntukan mencukupi Kementerian Kewangan.

Jelasnya, perjawatan doktor memang ada namun tidak semua pelajar lepasan perubatan diserap ke dalam perkhidmatan selain mengamalkan dasar siapa lebih layak dan terbaik menyandang jawatan tetap.

Katanya lagi, JPA hanya bertanggungjawab ke atas pegawai penjawat awam lantikan tetap bermula hari pertama menjalankan tugas dan tidak terlibat berkenaan pengambilan penjawat awam.

“Pelantikan dibuat oleh suruhanjaya-suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan dan JPA hanya menentukan aspek perjawatan, bukan pelantikan mana-mana calon.

“Selain itu, memang ada jawatan tetapi terhad. Kita kena melihat kepada nisbah perjawatan dan taburan penduduk termasuk yang mana pegawai-pegawai ini akan ditempatkan contohnya di Sabah dan Sarawak.

“Cuma, isu keperluan mendesak sekarang hanya disebabkan pandemik Covid-19. Jika habis pandemik pula macam mana?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×