PKP disambung, pakar saran buka sektor ekonomi - Utusan Malaysia

PKP disambung, pakar saran buka sektor ekonomi

SEKTOR ekonomi di negara ini agak perlahan ekoran daripada beberapa jenis perniagaan dilarang beroperasi sepanjang PKP. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang disambung bermula esok dijan­jikan bantuan yang komprehen­sif tetapi sektor industri mem­be­ri amaran kesan negatif lan­jutan itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin mengumumkan per­in­cian bantuan tersebut me­rang­kumi sek­tor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan dengan lanjutan pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan sen­tiasa berusaha memastikan ki­ra-kira 12 juta individu atau isi rumah negara ini yang terjejas dengan penularan pandemik menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat sukar keti­ka ini.

“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama PKP 3.0) dan seterusnya ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” katanya yang dipetik da­ripada Bernama, semalam.

Dalam pada itu, media-media sosial dihujani komen rak­yat yang meluahkan masalah dihadapi berhubung pe­lak­sanaan PKP terutamanya se­ka­tan ketat dikuatkuasakan da­lam beberapa sektor ekonomi dianggap menutup ‘periuk nasi’ mereka.

Ramai menyalahkan kerajaan kerana tidak menutup sektor perkilangan dan perindustrian pada peringkat awal sehingga menyumbang pe­ningkatan kes harian Covid-19.

Pemain industri pula meminta kerajaan menimbang untuk membuka semua sektor perniagaan bagi­ mengatasi masalah rakyat yang terkesan dengan ekonomi selain me­ngurangkan pengangguran.

Pandangan mereka turut disokong beberapa pakar eko­nomi tempatan yang senada walaupun pada masa sama kerajaan terpaksa meneruskan langkah ketat sepanjang PKP.

Setakat ini, jumlah pengangguran seramai 742,700 orang manakala sektor pelancongan malap apabila 91 hotel ditutup dan lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko untuk menutup perniagaan jika PKP dilaksanakan secara berterusan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, pembukaan sektor ekonomi hanya satu-satunya cara terbaik untuk memulihkan semula kemelesetan ekonomi pada masa sekarang.

“Kerajaan tidak boleh ‘pukul rata’ kerana terdapat negeri dan lokasi mencatatkan kadar kebolehjangkitan lebih rendah dan tidak memerlukan lagi total lockdown,” katanya.

Dalam pada itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Profe­sor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, Ma­laysia memerlukan satu pelan pemulihan komprehensif meliputi segenap lapisan masyarakat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan mampu membela rakyat yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ akibat pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Khaza­nah (KRI) pada 2019 iaitu sebelum penularan Covid-19 mendapati hanya 30 peratus rakyat Malaysia melibatkan golongan pertengahan mempunyai simpanan manakala 70 peratus lagi tiada tabungan sekali gus menjadi kumpulan yang amat terkesan masa kini.

Beliau tidak menolak kemungkinan peratusan itu ber­tam­bah berdasarkan situasi per­kembangan pandemik.

“Sehingga kini tiada satu pelan komprehensif untuk membaiki kehidupan rakyat terkesan Covid-19 dan jika ada sekalipun, ia tidak menyeluruh merangkumi pekerja gaji ha­rian. Contohnya program subsidi upah, hanya melibatkan syarikat dan majikan berdaftar sahaja sebaliknya tidak melibatkan segenap pekerja secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah melanjutkan tempoh PKP berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan setelah mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.

Beliau berkata, Fasa 1 PKP menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes hari menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

“Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan,” kata­nya semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×