LANDSKAP politik Malaysia terus berubah dengan perkembangan yang semakin dinamik dan sukar dijangka. Setiap langkah yang diambil parti politik bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan antara gabungan tetapi turut mempengaruhi strategi mendapatkan sokongan pelbagai kelompok pengundi.
Keputusan Pas menamatkan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan pelbagai spekulasi dalam arena politik negara.
Walaupun begitu, Pas kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan Parti Wawasan Negara, diasaskan Datuk Seri Hamzah Zainudin serta disokong kelompok yang membawa gerakan ‘Reset’.
Perkembangan ini menunjukkan perubahan strategi dalam menghadapi persaingan politik akan datang, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Setiap gabungan kini berusaha memperkukuh kedudukan masing-masing dengan membina kerjasama baharu dan memperluas sokongan pengundi.
Dalam masa sama, Barisan Nasional (BN) turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh sokongan masyarakat India melalui kerjasama dengan Malaysian Indian Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) . Sebelum ini, BN turut menerima sokongan daripada Makkal Sakti Malaysia yang mempunyai latar belakang daripada gerakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).
Langkah ini memperlihatkan pengundi India semakin mendapat perhatian sebagai kelompok penting dalam percaturan politik negara. Walaupun jumlah mereka hanya sekitar 7.2 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar, namun pengaruh mereka tetap besar, khususnya di kawasan kerusi marginal yang mempunyai persaingan sengit.
Dalam keadaan keputusan pilihan raya sering ditentukan oleh perbezaan sokongan yang kecil, undi masyarakat India boleh menjadi faktor penting yang menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah gabungan politik. Oleh sebab itu, mereka sering dilihat sebagai kelompok penentu yang mampu memberi kesan kepada pembentukan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
Namun, persoalan utama ialah sejauh mana pengundi India melihat usaha mendekati mereka sebagai komitmen sebenar, bukan sekadar strategi menjelang pilihan raya. Keyakinan mereka bergantung kepada sejauh mana parti politik mampu memahami serta menyelesaikan isu yang dekat dengan kehidupan seharian.
Dari sudut positif, beberapa perkembangan menunjukkan peningkatan perhatian terhadap pembangunan masyarakat India. Di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, aspek pendidikan dan pembangunan komuniti India diberikan perhatian melalui beberapa inisiatif.
Antaranya termasuk pemberian geran tahunan RM25 juta kepada Universiti AIMST serta peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga B40.
Dalam pendidikan aliran Tamil pula, peruntukan RM36.6 juta disediakan bagi pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangasaan Tamil (SJKT) Castlefield, selain penyediaan tapak tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Usaha ini menggambarkan perhatian terhadap pembangunan modal insan dan peluang mobiliti sosial masyarakat India. Pendidikan dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan generasi baharu mendapat ruang lebih luas untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Bagaimanapun, sentimen positif ini masih berdepan cabaran sosioekonomi. Walaupun ekonomi negara menunjukkan perkembangan melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengukuhan nilai ringgit dan peningkatan pelaburan tetapi sebahagian rakyat masih merasakan tekanan kos sara hidup.
Cabaran ekonomi harian seperti peningkatan harga barang, kos kehidupan bandar dan peluang pekerjaan yang lebih baik terus menjadi perhatian utama.
Bagi masyarakat India, isu ini memberi kesan kepada persepsi mereka terhadap kemampuan kerajaan menangani keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Selain ekonomi, isu identiti, agama dan hak komuniti turut memainkan peranan dalam membentuk sentimen politik. Isu berkaitan rumah ibadat, pemilikan tanah dan kebebasan beragama sering menjadi perhatian kerana menyentuh sensitiviti masyarakat.
Perdebatan mengenai isu kuil serta garis panduan berkaitan pembinaan rumah ibadat di sesetengah negeri menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian pengundi India. Bagi mereka, perkara ini berkait rapat dengan keyakinan terhadap perlindungan hak serta kedudukan komuniti dalam negara majmuk.
Justeru, menjelang PRN Johor, PRN Negeri Sembilan dan PRU16, pengundi India berada dalam keadaan menilai antara harapan dan kebimbangan. Mereka melihat kepada usaha pembangunan yang telah dilaksanakan, namun pada masa sama masih menunggu penyelesaian terhadap isu ekonomi dan sosial yang memberi kesan langsung kepada kehidupan.
Akhirnya, sokongan pengundi India tidak hanya bergantung kepada janji politik tetapi kepada tahap kepercayaan terhadap kemampuan kerajaan dan parti politik memahami realiti kehidupan mereka.
Keupayaan menangani isu ekonomi, menjaga keharmonian masyarakat serta memastikan hak komuniti dihormati akan menjadi faktor penting dalam menentukan arah sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.-UTUSAN
DATUK M.Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.










