Memartabatkan penyelidikan universiti sebagai aset negara

Memartabatkan penyelidikan universiti sebagai aset negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI tempatan sering berbangga dengan penerbitan dalam jurnal antarabangsa, penarafan global dan pencapaian akademik individu. Namun persoalan besar yang mesti ditanya kemana hasil penyelidikan universiti? 

Adakah ia memadai sekadar menjadi bahan akademik atau sepatutnya diterjemahkan sebagai aset strategik negara yang memberi manfaat kepada rakyat dan dasar pembangunan?

Penyelidikan tidak boleh berakhir apabila seseorang professor itu bersara. Ia mesti berkelangsungan, disambung oleh generasi muda dan digunakan oleh agensi berkaitan untuk tindakan nyata. 

Kajian ekologi hidupan liar dan ekotoksikologi pantai selama tiga dekad, misalnya, bukan sekadar melahirkan graduan, jaringan antarabangsa dan penerbitan dalam jurnal. Ia menyediakan data penting untuk memantau pencemaran bahan kimia, kesihatan ekosistem, kesejahteraan burung hijrah pantai dan kepentingan nelayan persisir. 

Kajian ini sepatutnya menjadi panduan kerajaan dalam mengawal pencemaran, menguji kesan bahan kimia terhadap rantai makanan serta menangani konflik antara pemuliharaan ekosistem dengan ekonomi perikanan.

Namun, terlalu banyak hasil penyelidikan yang berakhir sebagai tiket kenaikan pangkat atau pengiktirafan individu. Ia mesti menjadi rujukan dasar negara. 

Kajian burung hijrah pantai di laluan Asia Timur–Australasia (EAAF) memberi data kritikal kepada 22 negara. Malaysia sebagai negara singgah burung hijrah, dan rakan kongsi rasmi Perkongsian Laluan Migrasi Burung Asia Timur–Australasia (EAAFP)  sejak 2012, sepatutnya menggunakan hasil kajian ini untuk pengurusan habitat tanah lembap kritikal. Sumbangan ini sangat penting dan sesuai dengan kedudukan Malaysia dalam laluan migrasi serta komitmen negara.

Cabaran besar tetap wujud seperti pembangunan kawasan pantai, pencemaran muara, dan gangguan habitat. Data saintifik mesti menjadi panduan pihak berkuasa dalam memantau logam berat, racun perosak dan bahan kimia baharu yang boleh mengganggu sistem endokrina haiwan marin. 

Gangguan fisiologi ini bukan isu kecil. Ia menjejaskan populasi burung laut, ikan, moluska, dan akhirnya keseluruhan ekosistem pantai. Pengumpulan bahan kimia dalam sumber makanan laut juga boleh memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.

Kita juga tidak boleh lupa kisah Burung Upeh (Mycteria cinerea) yang pupus di habitat liar Malaysia. Kajian awalt entang burung ini menjadi rujukan KesatuanAntarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) tetapi dipandang sepi di dalam negara. 

Begitu juga ikan medaka jawa (Oryziasjavanicus) sebagai petunjuk pencemaran kimia mendapat perhatian antarabangsa tetapi tidak disambung secara sistematik di Malaysia. Apakah kita rela melihat khazanah biologi negara hilang begitu sahaja?

Ungkapan “hidup bersama hidupan liar secara harmoni” mesti diterjemahkan dalam tindakan. Kajian sokongan penduduk yang berjaya meningkatkan populasi burung enggang di Parit13 Sabak Bernam membuktikan penyelidikan boleh membawa perubahan nyata. Sokongan ini bukan sekadar diuar-uarkan dalam media dan penerbitan dalam jurnal tetapi menagih tindakan pihak berkuasa.

Universiti mesti mengaudit keberhasilan kajian agar tidak terhenti sebagai tesis pelajar atau penerbitan semata-mata. Malah, pencapaian profesor bersara mesti dirumuskan, diiktiraf dan dikembangkan sebagai warisan ilmu negara.

 

PANGKALAN DATA NASIONAL UNTUK KEPUTUSAN DASAR 

Dalam era kecerdasan buatan (AI), data asas daripada penyelidikan ekologi, kepelbagaian biologi dan ekotoksikologi adalah khazanah strategik negara. Tanpa data, pengurusan alam sekitar akan longgar dan tidak jitu. 

Malaysia mesti membina pangkalan data nasional yang digunakan oleh pelbagai agensi seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk pemuliharaan, pengurusan pencemaran dan pembangunan ekonomi berasaskan kepelbagaian biologi.

Bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan akademik dan keperluan negara, penyelidikan berkaitan alam sekitar boleh difokuskan kepada empat komponen utama iaitu peruntukan 30 peratus untuk wawasan negara (dasar kepelbagaian biologi, keselamatan makanan, perubahan iklim), 30 peratus untuk universiti (pembangunan akademik, reputasi, fokus bidang), 20 peratus untuk projek bernilai tinggi (ekonomi, teknologi, industri, kejituan dalam membuat keputusan), manakala 20 peratus lagi untuk penyelidikan individu (inovasi, kepakaran khusus). 

Dengan model ini, penyelidikan akan lebih tersusun, berimpak dan tidak terperangkap dalam budaya akademik bekerja secara bersendirian. 

Di era pasca-normal, pendekatan berorientasikan misi penting.

Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat mesti mendapat manfaat daripada hasil penyelidikan. 

Data serta penemuan mesti digunakan untuk menjayakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK), menangani pencemaran, kehilangan kepelbagaian biologi, perubahan iklim dan membuka peluang ekonomi baharu. 

Contohnya, pemuliharaan Tasik Bera sebagai tasik terbesar di Malaysia dan tapak Ramsar pertama negara. Penglibatan komuniti Orang Asli Semelai melalui program Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) boleh menjadikan pemuliharaan lebih berkesan dan membuka peluang ekonomi tempatan. Untuk menjayakan misi ini data asas kepelbagaian biologi sangat penting.

Penyelidikan universiti bukan sekadar menghasilkan graduan dan penerbitan dalam jurnal tetapi menjadi khazanah negara. 

Jika hasil penyelidikan terus terperangkap di rak perpustakaan atau pangkalan data akademik, Malaysia akan kehilangan peluang besar untuk memimpin dalam era kepelbagaian biologi dan perubahan iklim.

Kerajaan mesti memastikan setiap projek penyelidikan yang dibiayai dana awam dipantau, diteruskan dan dimanfaatkan. 

Universiti pula mesti berperanan sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja melahirkan pakar tetapi juga menyediakan data strategik untuk negara. 

Bidang-bidang sedia ada mesti disambung dengan bakat baharu yang terlatih meneruskan usaha profesor bersara.

Hasil penyelidikan adalah milik negara, bukan sekadar jurnal. Jika kita gagal bertindak sekarang, penyelidikan akan terus menjadi ‘hak eksklusif akademik’ tanpa memberi impak kepada rakyat dan negara. –UTUSAN

  

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×