Bolivia isytihar darurat tangani protes rakyat 

Bolivia isytihar darurat tangani protes rakyat 

PENUNJUK perasaan berarak untuk membantah kerajaan Presiden Rodrigo Paz di La Paz, Bolivia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LA PAZ: Krisis di Bolivia semakin meruncing pada Sabtu apabila Presiden Rodrigo Paz mengisytiharkan darurat, yang membolehkan tentera dikerahkan secara meluas bagi membuka sekatan jalan raya dan memulihkan ketenteraman selepas protes selama 50 hari melumpuhkan ekonomi negara itu.

Langkah itu diumumkan menerusi ucapan kepada rakyat hanya beberapa jam selepas Paz mendedahkan perjanjian yang dicapai pada Jumaat dengan kesatuan pekerja utama negara, Konfederasi Pekerja Bolivia (COB), bertujuan meredakan ketegangan.

Konflik itu tercetus selepas Paz secara mengejut menamatkan subsidi bahan api yang sekian lama dilaksanakan bagi mengurangkan defisit negara, ketika Bolivia berdepan krisis dolar serta rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Walaupun kerajaan kemudian mengambil langkah menstabilkan harga bahan api dan membatalkan reformasi tanah yang tidak popular, protes terus memuncak menjadi gelombang bantahan meluas, dengan kesatuan pekerja menuntut kenaikan gaji, penyelesaian kekurangan bahan api dan krisis dolar serta peletakan jawatan Paz.

Kumpulan penunjuk perasaan, yang kebanyakannya bersekutu dengan bekas Presiden berhaluan kiri, Evo Morales, bertindak menyekat laluan utama negara, menyebabkan trak terkandas dan bekalan makanan, bahan api serta ubat-ubatan ke banyak kawasan termasuk La Paz terjejas.

Protes terhadap Paz, berhaluan tengah-kanan itu, turut menuntut penamatan reformasi ekonomi yang disokong Amerika Syarikat (AS), bertujuan menggantikan 20 tahun pemerintahan sosialis.

Ketegangan berlaku ketika Negara Amerika Latin itu berdepan krisis ekonomi paling buruk dalam tempoh 40 tahun. 

Pengisytiharan darurat itu memberi Paz kuasa perlembagaan yang lebih luas untuk memulihkan ketenteraman, termasuk mengerahkan angkatan tentera bagi membuka sekatan jalan raya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×