WASHINGTON: Perjanjian baharu yang ditandatangani untuk menamatkan perang di Asia Barat sudah mula tertekan pada Jumaat, selepas rundingan di Switzerland ditangguhkan dan pertempuran kembali meletus antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.
Perkembangan itu berlaku selepas pemimpin tertinggi Iran mengumumkan bahawa beliau hanya membenarkan perjanjian awal untuk menghentikan perang diteruskan walaupun mempunyai keraguan.
Ketua perunding utama Iran turut memberi amaran kepada Washington bahawa republik Islam itu bersedia untuk bertindak balas jika berlaku sebarang pelanggaran.
Perang itu bermula 28 Februari apabila Amerika Syarikat (AS) bersama Israel menyerang Teheran sehingga menyebabkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh.
Para pengantara konflik termasuk Pakistan, Arab Saudi dan Turkiye dijadualkan berkumpul di bandar Alamein, Mesir pada Ahad bagi membincangkan perjanjian tersebut, menurut Cairo dan Islamabad.
Persiapan sebelum ini telah dibuat untuk menempatkan delegasi Iran dan Amerika di pusat peranginan Swiss Burgenstock, Switzerland yang menghadap Tasik Lucerne, bagi memulakan rundingan pelaksanaan perjanjian yang ditandatangani minggu ini oleh Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, memberi amaran bahawa Teheran akan memberikan tindak balas tegas jika berlaku pelanggaran kontrak atau tuntutan melampau..
“Mereka pernah ditampar ketika perang; jika mereka mahu mengulangi jalan itu, mereka akan menerima tamparan yang lebih keras,” tulisnya di platform X.
Penandatanganan perjanjian itu bertujuan menamatkan kempen ketenteraan AS-Israel terhadap Iran yang menyaksikan perang besar selama lima minggu sebelum gencatan senjata dicapai pada April dan membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang sebelum ini ditutup dan menyebabkan harga tenaga global meningkat.
Perjanjian itu juga membuka tempoh 60 hari rundingan mengenai isu lebih luas termasuk program nuklear Tehran.
“Rundingan yang dirancang antara AS, Iran, Qatar dan Pakistan telah ditangguhkan,” kata Kementerian Luar Switzerland kepada AFP.
“Switzerland kekal bersedia untuk memudahkan rundingan ini. Kerja-kerja persiapan di Burgenstock diteruskan,” tambahnya tanpa menetapkan tarikh baharu.
Ia susulan pengumuman Rumah Putih lewat Khamis bahawa lawatan Naib Presiden AS, JD Vance dibatalkan.
“Kami berharap dapat memulakan rundingan teknikal secepat mungkin.”
Perjanjian itu juga bertujuan menghentikan pertempuran di Lubnan, namun tentera Israel pada Jumaat melancarkan serangan baharu ke atas sasaran Hizbullah, dengan 18 orang terbunuh menurut Kementerian Kesihatan Lubnan. – AFP/AGENSI










