SEJAK usia kanak-kanak, kita sering mendengar cerita rakyat mengenai seekor gagak yang kehausan lalu menjatuhkan batu-batu kecil ke dalam kendi sehingga paras air naik, lalu membolehkannya minum.
Cerita yang dikenali sebagai Gagak dan Kendi daripada kumpulan cerita Aesop sering dianggap sekadar pengajaran kepada anak-anak mengenai erti kesabaran dan kebijaksanaan.
Namun, apa yang dulu dianggap cerita khayalan rupa-rupanya mempunyai asas dalam dunia sebenar.
Kajian saintifik sudah membuktikan burung gagak bukan sekadar haiwan yang pandai mencari makanan. Malah, antara makhluk paling pintar di muka bumi.
Sejak kecil, saya sedar dalam budaya India, gagak mempunyai kedudukan yang unik. Dalam beberapa tradisi Hindu, gagak dianggap sebagai pembawa pesan daripada dunia nenek moyang yang sudah meninggal dunia. Kehadiran gagak sering ditafsir sebagai petanda baik atau buruk.
Sebaliknya, di Malaysia, gagak biasanya dilihat sebagai burung yang bising, kotor dan mengganggu. Ramai orang, khususnya di Lembah Klang, menganggapnya sebagai perosak sehingga sering ditembak atau dibunuh.
Operasi menembak gagak selalu dikendalikan pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Kita mungkin lebih mudah memuji kancil sebagai simbol kecerdikan berdasarkan cerita rakyat yang didengar dan dibaca sejak kecil. Namun begitu, dunia sains kini memaksa kita menilai semula gagak yang sering dipandang dengan sebelah mata.
Gagak termasuk dalam keluarga burung corvid yang turut merangkumi burung raven, jay (gagak Eurasia) dan murai.
Menurut kajian yang dibincangkan oleh pelbagai penerbitan sains seperti National Geographic, Scientific American, BBC Earth dan Live Science, keluarga corvid mempunyai kebolehan kognitif sangat luar biasa.
Mereka mampu menyelesaikan masalah yang kompleks, menggunakan alat, merancang tindakan untuk masa hadapan, selain menunjukkan kemampuan sosial yang tinggi.
Antara contoh paling menarik ialah penggunaan alat. Burung gagak di kepulauan New Caledonia didapati mampu memilih ranting yang sesuai, mengubah bentuknya dan menggunakan alat itu untuk mengeluarkan serangga dari lubang pokok.
Malah, beberapa eksperimen yang terinspirasi daripada kisah Gagak dan Kendi membuktikan burung berkenaan mampu memahami hubungan sebab dan akibat.
Dalam ujian menyerupai cerita Aesop, burung gagak dalam eksperimen mampu menjatuhkan objek ke dalam bekas berisi air untuk menaikkan paras air dan mendapatkan makanan.
Kemampuan menyelesaikan masalah seperti ini menyebabkan sesetengah penyelidik membandingkan aspek kecerdasan gagak dengan kemampuan seorang kanak-kanak berumur sekitar tujuh tahun.
Perbandingan ini bukan bermaksud gagak memiliki semua kemampuan seorang kanak-kanak seperti bahasa dan pembacaan, sebaliknya sekadar bertujuan menunjukkan tahap penaakulan dan penyelesaian masalah yang mengagumkan.

KUAT MEMORI
Kebijaksanaan gagak juga terserlah melalui ingatannya terhadap manusia. Pelbagai kajian oleh John M. Marzluff dan rakan-rakan di Universiti Washington seawal 1990 mengenai segala penemuan ini diterbitkan dalam beberapa jurnal.
Pensyarah itu juga menulis buku, In the Company of Crows and Ravens (2005). Ternyata gagak liar mampu mengenali wajah manusia yang pernah mengancam mereka, malah mengingatinya selama bertahun-tahun.
Kajian susulan oleh Heather N. Cornell, John M. Marzluff dan rakan-rakan yang diterbitkan dalam Proceedings of the Royal Society (Februari 2012) membuktikan, pengetahuan gagak tentang manusia yang berbahaya boleh disebarkan kepada gagak lain melalui pembelajaran sosial.
Bayangkan keadaan ini: Seekor gagak ditangkap oleh seorang manusia yang memakai topeng tertentu. Bertahun-tahun kemudian, apabila manusia yang memakai topeng yang sama muncul semula, gagak tersebut masih mengenalinya sebagai ancaman.
Lebih menakjubkan, gagak yang tidak pernah mengalami peristiwa asal juga boleh belajar mengenali wajah manusia bertopeng itu melalui pemerhatian terhadap tingkah laku gagak-gagak lain.
Pada September 2012, John M. Marzluff dan rakan-rakan menerbitkan satu lagi kajian dalam Proceedings of the National Academy of Sciences. Mereka menggunakan teknik pengimejan otak untuk menunjukkan bagaimana gagak menggunakan sistem saraf yang kompleks semasa mengenal pasti wajah manusia.
Ternyata gagak mengaitkan wajah manusia dengan pengalaman positif atau negatif. Penemuan saintifik ini membuktikan hakikat dunia emosi dan memori gagak jauh lebih rumit daripada sangkaan kita selama ini.
Kebijaksanaan gagak tidak berhenti di situ. Kajian oleh Amaan Buniyaadi, S. K. Tahajjul Taufique dan Vinod Kumar dalam Journal of Ornithology (November 2019) menunjukkan, gagak rumah India (Corvus splendens) mempunyai kebolehan mengenali dirinya sendiri melalui ujian cermin.
Kebolehan mengenali diri sendiri merupakan satu ciri kognitif yang jarang ditemui dalam dunia haiwan. Lihat sahaja reaksi kucing, anjing, merpati dan binatang peliharaan lain di hadapan cermin untuk memahami hakikat ini.
Penemuan saintifik mampu mengubah cara kita melihat seekor burung hitam yang sering hinggap di tiang elektrik atau mencari sisa makanan di tepi jalan. Barangkali ketika kita melihat gagak sebagai pengacau, burung berkenaan sedang memerhatikan kita dengan ingatan yang tajam selain cuba menilai sama ada kita sahabat atau musuh.
Kita sering mengukur kecerdasan berdasarkan keupayaan manusia seperti bercakap, menulis atau membina bangunan. Namun, alam semula jadi dipenuhi pelbagai bentuk kebijaksanaan.
Misalnya, ikan memiliki kebijaksanaan berenang melawan arus, semut mempunyai kecerdasan kolektif membina koloni yang teratur, manakala gagak mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah serta membina hubungan sosial yang rumit.
Mungkin sudah tiba masanya kita cuba belajar sesuatu daripada gagak. Bukan untuk menjadi burung yang mencuri makanan di pasar atau membuat bising pada waktu pagi. Sebaliknya, belajar memahami hakikat kebijaksanaan tidak sentiasa hadir dengan rupa yang cantik dan suara merdu.
Kadangkala, ia hadir dalam bentuk seekor burung berbulu hitam yang selama ini kita halau tanpa pernah benar-benar cuba mengenalinya. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











