Tempoh jawatan PM dihadkan 8 tahun - Utusan Malaysia

Tempoh jawatan PM dihadkan 8 tahun

VIKTOR ORBAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAPEST: Sebahagian ahli parlimen Hungary pada Isnin mengundi dengan majoriti besar untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada lapan tahun menerusi pindaan perlembagaan yang menghalang kembalinya nasionalis Viktor Orban, yang pernah meme­rintah negara itu selama 16 tahun.

Mereka mengundi menyo­kong pindaan tersebut pada Isnin, mengetepikan tenta­ngan daripada parti Fidesz pimpinan Orban. 

Seramai 150 ahli parlimen mengundi menyokong, manakala 50 menentang dan enam berkecuali.

Perubahan itu merupakan janji kempen utama parti Tisza pimpinan Perdana Menteri, Peter Magyar yang mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen April lalu, menamatkan penguasaan 16 tahun Orban.

Reformasi sistem politik ini merupakan salah satu perubahan besar pertama yang diperkenalkan oleh Magyar dalam usahanya memperbaiki hubungan Budapest dengan Kesatuan Eropah (EU).

Pada minggu-minggu awal memegang jawatan, Magyar telah berikrar untuk memim­pin negara tersebut mengguna pakai mata wang euro. 

Minggu lalu, beliau bersetuju menarik balik veto berterusan Hungary terhadap proses penyertaan Ukraine ke dalam EU, yang mana Kyiv secara rasmi memulakan langkah tersebut pada Isnin.

Secara tidak rasmi, EU  dilihat menyambut baik se­katan supaya Orban tidak mampu berkuasa semula. 

Pemerintahan selama 16 tahun Orban yang menerajui rejim pro-Russia dan tidak liberal sebelum ini sering mencetuskan masalah kepada EU terutamanya dalam usaha blok itu menyokong Ukraine. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×