Gempa bumi Filipina ‘naikkan’ dasar laut hingga 2 meter - Utusan Malaysia

Gempa bumi Filipina ‘naikkan’ dasar laut hingga 2 meter

GEMPA bumi kuat ‘menaikkan’ dasar laut di Filipina. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang di Filipina minggu ini dikesan telah menaikkan dasar laut sehingga dua meter sekali gus mendedahkan batu karang dan menjejaskan hidupan marin, lapor Jabatan Alam Sekitar negara itu.

Menurut kemas kini terbaharu daripada agensi bencana, sekurang-kurangnya 40 orang lagi masih dilaporkan hilang selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda luar pantai selatan pulau Mindanao pada Isnin minggu lalu.

Jabatan Alam Sekitar dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, penduduk setempat mula melaporkan fenomena geologi yang dikenali sebagai lonjakan pesisir pantai. 

Ia berlaku dua hari selepas gempa berlaku yang mana ia turut menyaksikan garis pantai bertambah luas sehingga 200 meter di beberapa kawasan.

Sementara itu, Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina menjelaskan bahawa pergerakan di Jurang Cotabato telah menolak ke atas sebahagian daripada garis pantai wilayah Sarangani dan Davao Occidental, sekali gus mendedahkan dasar laut yang sebelum ini ditenggelami air.

“Hasil pemetaan mendapati kawasan yang mengalami lonjakan berkenaan adalah setinggi kira-kira dua meter,” menurut institut tersebut.

Jurang berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai selatan Mindanao merupakan lokasi yang kerap mengalami aktiviti seismik, termasuk kejadian gempa membabitkan ribuan gegaran kecil seperti direkodkan pada Januari lalu.

Menurut Jabatan Alam Sekitar lagi, sepasukan penyelidik yang dihantar ke lokasi kejadian menemukan kawasan garis pantai yang panjang, terumbu karang dan padang rumpai laut kini terdedah (di atas permukaan laut).

Seorang pegawai ketika bercakap kepada agensi berita AFP pada Ahad memberitahu, pihak mereka masih belum dapat menyatakan dengan tepat keluasan kawasan yang terjejas memandangkan zon yang perlu ditinjau adalah terlalu besar. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×