Mukadimah
SEMPENA ulang tahun ke-30 kehadirannya di Malaysia, IKEA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama kelengkapan rumah pilihan rakyat negara ini.
Dalam tempoh tiga dekad, landskap perumahan dan gaya hidup masyarakat telah banyak berubah, daripada kediaman yang lebih luas kepada ruang yang semakin kompak, di samping cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan corak perbelanjaan pengguna, IKEA Malaysia kekal komited menawarkan penyelesaian kediaman yang praktikal, berkualiti dan mampu milik.
Wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI dan jurugambar, SHIDDIQIEN ZON berpeluang menembual Pengarah Peruncitan Negara IKEA Malaysia, MALCOLM PRUYS berkongsi pandangannya mengenai evolusi keperluan pengguna, strategi pengembangan syarikat, usaha mengekalkan harga berpatutan serta prospek industri kelengkapan rumah untuk tahun-tahun mendatang.
UTUSAN: IKEA telah berada di Malaysia selama 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, apakah perubahan paling ketara yang anda lihat dalam cara rakyat Malaysia menghuni dan menguruskan rumah mereka?
MALCOM: Perubahan paling besar ialah saiz kediaman. Tiga dekad lalu, lebih ramai orang tinggal di rumah yang lebih besar dengan ruang yang lebih luas. Hari ini, ramai memilih atau terpaksa tinggal di ruang yang lebih kecil dan lebih mahal untuk dimiliki.
Keadaan ini menyebabkan keperluan terhadap penyelesaian rumah yang lebih pintar dan fleksibel menjadi semakin penting. Pada masa sama, pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka mahukan nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan dan lebih menitikberatkan aspek kualiti, khususnya bagi pembelian yang besar.
Bagaimana perubahan ekonomi mempengaruhi corak pembelian pengguna untuk keperluan rumah?
Pengguna kini lebih rasional dalam membuat keputusan pembelian. Mereka mencari cara untuk memberi impak besar kepada kediaman tanpa perlu berbelanja terlalu banyak.
Sebagai contoh, mereka mungkin tidak membeli sofa baharu, tetapi memilih untuk menukar sarung sofa bagi memberikan wajah baharu kepada ruang tamu. Mereka juga lebih cenderung membeli penyelesaian penyimpanan yang praktikal berbanding melakukan pengubahsuaian besar.
Adakah IKEA turut mengambil langkah bagi membantu pengguna menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat?
Ya. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami telah menurunkan harga kira-kira 2,500 produk. Kami sedar kos kehidupan semakin meningkat dan pengguna memerlukan pilihan yang lebih mampu milik.
Apa yang penting, penurunan harga ini tidak pernah mengorbankan kualiti. Produk yang dijual tetap mempunyai spesifikasi dan standard yang sama, cuma pada harga yang lebih rendah.
Adakah IKEA bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan di Malaysia?
Jawapan ringkasnya ialah ya. Kami sentiasa mahu meningkatkan aksesibiliti jenama IKEA kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Namun, pendekatan pengembangan kami mungkin berbeza pada masa hadapan.
Selain memperkukuh platform digital, kami juga melihat potensi untuk membuka pusat sentuhan pelanggan berskala lebih kecil di bandar seperti Ipoh, Melaka, Terengganu dan Kuantan.
Ia mungkin bukan gedung IKEA bersaiz besar seperti di Damansara, tetapi pusat yang lebih kecil dengan keluasan sekitar 1,000 hingga 3,000 meter persegi bagi memudahkan pelanggan berinteraksi dengan produk dan perkhidmatan kami.
Produk seperti apa yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna?
Produk yang mempunyai pelbagai fungsi dan menjimatkan ruang semakin mendapat sambutan. Penyelesaian penyimpanan, perabot modular serta kelengkapan dapur dan bilik tidur menjadi pilihan utama.
Ini kerana pengguna kini tinggal di ruang yang lebih kecil dan memerlukan produk yang boleh disesuaikan mengikut keperluan mereka. Fleksibiliti menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian.
Bagaimana IKEA mengekalkan keseimbangan antara harga yang berpatutan dan kualiti produk?
Kami tidak pernah berkompromi dari segi kualiti. Jika harga diturunkan, produk yang diterima pelanggan tetap sama dari segi bahan, ketahanan dan fungsi.
Kami juga menawarkan jaminan yang panjang untuk banyak produk kami. Sebagai contoh, sesetengah sofa dilindungi jaminan sehingga 10 tahun, manakala dapur IKEA mempunyai jaminan sehingga 25 tahun. Ini mencerminkan keyakinan kami terhadap kualiti produk yang ditawarkan.
Bagaimana IKEA menyesuaikan penawarannya dengan perubahan gaya hidup pengguna selepas pandemik?
Pandemik Covid-19 telah mengubah cara orang menggunakan rumah mereka. Kini lebih ramai bekerja dari rumah dan memerlukan ruang yang boleh berfungsi untuk pelbagai tujuan.
Contohnya, meja makan bukan lagi sekadar tempat makan, tetapi juga boleh berfungsi sebagai ruang kerja.
Oleh itu, kami sentiasa menyesuaikan reka bentuk produk agar relevan dengan keperluan semasa pengguna.
Selain itu, kami memperluaskan pilihan produk modular supaya pelanggan dapat menyesuaikan perabot mengikut keluasan rumah masing-masing.
Kelestarian semakin menjadi fokus global. Bagaimana IKEA mengintegrasikan elemen tersebut dalam perniagaan?
Kelestarian sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA IKEA. Kami sentiasa mencari cara untuk mengurangkan penggunaan sumber dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
Namun bagi kami, kelestarian bukan sekadar mengenai bahan yang digunakan dalam produk. Ia juga melibatkan bagaimana produk membantu pengguna menjalani gaya hidup yang lebih lestari di rumah.
Contohnya, kami menawarkan lampu LED yang menjimatkan tenaga, paip yang mengurangkan penggunaan air dan pelbagai penyelesaian penyimpanan makanan bagi membantu mengurangkan pembaziran.
Apakah pandangan anda mengenai masa depan ekonomi dan pasaran kelengkapan rumah di Malaysia?
Saya berpendapat rakyat Malaysia akan terus menjadi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.
Saya tidak menjangkakan kos utiliti, bahan api, pendidikan atau perumahan akan menjadi jauh lebih murah dalam masa terdekat.
Oleh sebab itu, pengguna akan terus mencari penyelesaian yang praktikal, berkualiti dan mampu milik untuk kediaman mereka.
Pada masa yang sama, satu perkara yang tidak akan berubah ialah peranan rumah sebagai tempat perlindungan dan ketenangan. Tidak kira apa yang berlaku dalam ekonomi atau dunia luar, rumah akan sentiasa menjadi ruang yang memberikan rasa selamat dan selesa.
Adakah konflik geopolitik dan ketidaktentuan global memberi kesan kepada operasi IKEA Malaysia?
Setakat ini, kami belum melihat impak yang ketara terhadap harga produk di Malaysia. Kami mempunyai hubungan dan kontrak jangka panjang yang kukuh dengan rakan pembekal, yang membantu melindungi operasi kami daripada turun naik kos yang mendadak.
Apa yang boleh saya katakan ialah kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menaikkan harga.
Malah, kami terus mencari peluang untuk menurunkan harga produk yang menjadi keperluan asas di rumah seperti perabot tidur, ruang makan dan dapur.
Apakah prospek IKEA Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang?
Kami optimis terhadap masa depan. Perniagaan makanan kami terus berkembang dan sambutan terhadap produk kelengkapan rumah kekal positif.
Sudah tentu, pengguna masih berhati-hati dan mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan pembelian apabila berlaku ketidaktentuan global. Namun apabila mereka berbelanja, mereka cenderung membuat pilihan yang lebih berkualiti dan tahan lama.
Kami berharap dapat mencatat pertumbuhan sekitar lima peratus setahun dan terus mengembangkan akses kepada jenama IKEA di seluruh negara. Kami yakin prospek jangka panjang IKEA Malaysia kekal kukuh. – UTUSAN











