CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) bimbang dengan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Cameron Highlands, khususnya di kawasan Kea Farm sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang berkesan.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pihaknya memahami bahawa ketika ini musim cuti sekolah dan Cameron Highlands menerima jumlah pelancong yang tinggi.
Namun begitu, katanya, isu kesesakan lalu lintas bukan perkara baharu dan telah lama menjadi rungutan penduduk serta pelancong yang berkunjung ke Cameron Highlands.
Sehubungan itu, katanya, tindakan yang lebih proaktif perlu diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menangani masalah yang semakin membebankan itu.
“Salah satu punca utama kesesakan di Kea Farm adalah kekurangan kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi.
“Kami difahamkan bahawa suatu ketika dahulu kerajaan negeri menyediakan sebidang tanah untuk tujuan pembangunan Business Park yang merangkumi kemudahan parkir bagi menampung keperluan kawasan pelancongan tersebut.
“Malangnya, projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sekiranya projek Business Park tersebut berjaya disiapkan lebih awal, kami percaya masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku hari ini dapat dikurangkan dengan ketara dan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada para pelancong serta penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sehubungan itu, Reach memohon jasa baik Kerajaan Negeri Pahang untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan projek Business Park di tapak yang telah diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, Reach juga berharap kerajaan negeri dapat memohon semula peruntukan yang diperlukan daripada Kementerian Ekonomi bagi merealisasikan projek tersebut demi kepentingan awam.
“Pada masa yang sama, kami menggesa agar keutamaan diberikan kepada penyediaan kemudahan parkir awam dan penyelesaian masalah trafik yang mampan berbanding pembangunan lain yang boleh menambahkan tekanan terhadap infrastruktur sedia ada,” katanya.
Dilip berkata, keselesaan pelancong, kesejahteraan penduduk dan kelestarian Cameron Highlands perlu menjadi keutamaan semua pihak.
“Sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, Cameron Highlands memerlukan perancangan yang lebih berkesan bagi memastikan pengalaman yang positif kepada setiap pengunjung serta menjamin pembangunan yang seimbang dan lestari untuk generasi akan datang.
“Kami berharap kerajaan mengutamakan penyelesaian masalah trafik demi kelestarian Cameron Highlands,” katanya. – UTUSAN











