RASUAH dan pecah amanah merupakan antara penyakit sosial paling merosakkan dalam sesebuah negara, khususnya dalam perkhidmatan awam.
Perkhidmatan awam ialah tulang belakang pentadbiran negara yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar, menjaga kebajikan rakyat dan mengurus sumber negara secara telus serta berintegriti.
Namun, apabila rasuah dan pecah amanah berakar umbi, bukan sahaja imej perkhidmatan awam tercalar, malah kestabilan negara dan masa hadapan bangsa turut terancam. Oleh itu, usaha menolak rasuah dan pecah amanah perlu dilakukan secara menyeluruh dan berterusan demi memelihara maruah perkhidmatan awam.
Fenomena rasuah dalam perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang terhad kepada satu peringkat sahaja. Ia boleh berlaku bermula daripada peringkat tertinggi kepimpinan sehingga ke peringkat bawahan.
Di peringkat atasan, rasuah sering berlaku dalam bentuk salah guna kuasa, campur tangan dalam pemberian kontrak, penyelewengan dana awam serta keputusan dasar yang dipengaruhi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.
Individu yang memegang jawatan tinggi sepatutnya menjadi contoh teladan, namun apabila mereka terlibat dalam rasuah, ia memberi isyarat negatif kepada seluruh organisasi.
Di peringkat pertengahan dan bawahan pula, rasuah sering berlaku dalam bentuk menerima sogokan, ‘duit kopi’, melambatkan urusan bagi mendapatkan habuan, memanipulasi dokumen serta menutup kesalahan pihak tertentu.
Perbuatan ini lama-kelamaan menjadi amalan biasa kerana wujud budaya ‘semua orang buat’ dan tanggapan bahawa rasuah adalah jalan pintas untuk menyelesaikan urusan. Apabila amalan ini tidak dibendung, ia menjadi norma yang sukar dihapuskan.
Rasuah masih berlaku walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan penjawat awam termasuk kenaikan gaji dan elaun kerana punca sebenarnya bukan terletak pada kekurangan pendapatan semata-mata.
Apabila nilai amanah dan rasa takut kepada hukuman undang-undang serta pembalasan Tuhan semakin luntur menyebabkan kenaikan gaji tidak lagi menjadi benteng untuk menolak rasuah, sebaliknya peluang dan ruang dalam sistem pentadbiran kurang telus, penguatkuasaan tidak konsisten serta kepimpinan yang gagal menjadi teladan membuka jalan kepada amalan rasuah untuk terus berakar.
Selain itu, tekanan gaya hidup, keinginan untuk hidup mewah dan perbandingan sosial mendorong sebahagian penjawat awam mencari pendapatan tambahan secara tidak sah, manakala penerimaan masyarakat terhadap amalan ‘duit kopi’ menjadikan rasuah dianggap perkara biasa dan bukan lagi kesalahan serius.
Antara punca ‘penyakit’ ini apabila tiada integriti dalam diri penjawat awam. Apabila nilai ini lemah, seseorang mudah terpengaruh dengan godaan material dan kepentingan peribadi.
Selain itu, kelemahan pegangan agama menjadi faktor penting. Agama mengajar nilai amanah, keadilan dan takut kepada pembalasan Tuhan. Tanpa pegangan agama yang kukuh, individu hanya melihat keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan dosa, kesan kepada orang lain dan akibat jangka panjang.
Kesan rasuah dan pecah amanah terhadap negara amat besar. Dari sudut ekonomi, rasuah menyebabkan ketirisan kewangan negara, pembaziran sumber dan projek berkualiti rendah akibat pemilihan kontraktor yang tidak layak.
Pelabur asing juga hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara yang tidak telus. Ini sekali gus melemahkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, melambatkan urusan rakyat dan menafikan hak golongan yang sepatutnya menerima bantuan.
Dari sudut sosial dan moral pula, rasuah merosakkan nilai masyarakat dan membentuk generasi yang memandang remeh soal amanah dan kejujuran. Rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi kerajaan dan menganggap undang-undang hanya tegas kepada golongan kecil tetapi longgar terhadap mereka yang berkuasa.
Jika keadaan ini berterusan, ia boleh mencetuskan ketidakpuasan hati, perpecahan sosial dan ketidakstabilan politik yang akhirnya menjejaskan keharmonian negara mahupun bangsa.
Kurangnya rasa bersyukur dan sikap hidup yang sentiasa membandingkan diri dengan orang lain merupakan antara faktor utama yang mendorong berlakunya rasuah kerana individu yang gagal mensyukuri nikmat yang dimiliki akan sentiasa merasakan apa yang ada tidak mencukupi, walaupun keperluan asas dipenuhi.
Apabila kejayaan dan kemewahan orang lain dijadikan ukuran kebahagiaan, menyebabkan timbul perasaan iri hati dan tekanan untuk mengejar gaya hidup yang lebih tinggi daripada kemampuan sebenar, lalu rasuah dilihat sebagai jalan pintas.
Sikap ini akhirnya menghakis nilai amanah dan kejujuran kerana keinginan untuk memiliki lebih mengatasi rasa tanggungjawab terhadap tugas serta kepentingan awam, sekali gus menjadikan seseorang sanggup menggadaikan prinsip mahupun maruah demi memenuhi kehendak diri yang tidak berpenghujung.

HAPUS SECARA TOTAL
Bagi menghapuskan rasuah dan pecah amanah secara total, pelbagai tindakan tegas dan menyeluruh perlu diambil. Pertama, penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Tiada sesiapa harus kebal daripada tindakan undang-undang. Hukuman yang setimpal perlu dikenakan bagi memberi pengajaran dan kesan pencegahan kepada orang lain.
Kedua, pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam perlu diperkukuhkan melalui latihan berterusan, kepimpinan beretika dan sistem kerja yang telus. Pemimpin mesti menjadi contoh terbaik kerana integriti di peringkat atasan akan membentuk budaya kerja di peringkat bawahan.
Ketiga, pendidikan agama dan nilai moral perlu diperkasakan agar penjawat awam mempunyai benteng dalaman yang kuat untuk menolak rasuah walaupun berdepan tekanan dan peluang.
Selain itu, sistem pentadbiran perlu diperkemas dengan penggunaan teknologi, ketelusan proses dan pengurangan kuasa budi bicara yang berlebihan. Penglibatan masyarakat dan perlindungan kepada pemberi maklumat juga penting bagi memastikan salah laku dapat didedahkan tanpa rasa takut.
Selagi rasuah tidak ditangani secara menyeluruh melalui pembinaan integriti, pengukuhan nilai moral dan agama, kepimpinan beretika serta tindakan undang-undang yang tegas serta adil, semakin itulah peningkatan kesejahteraan material semata-mata tidak mampu menghentikan amalan rasuah.
Rasuah dan pecah amanah bukan sahaja mencemarkan imej perkhidmatan awam, malah mengancam kesejahteraan negara dan masa hadapan bangsa. Usaha menolaknya memerlukan komitmen bersama daripada kerajaan, penjawat awam dan rakyat.
Dengan integriti kukuh, pegangan agama yang mantap serta tindakan tegas dan konsisten membolehkan rasuah atau pecah amanah dibanteras demi memastikan perkhidmatan awam yang bersih, berwibawa selain dihormati.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan (Pentadbiran) di Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.











